KUALA LUMPUR : Merupakan antara pelopor terawal sebagai pempengaruh media sosial, bekas pengacara program Viral, Hazeman Huzair, menganggap pencipta kandungan yang gemar melakukan kontroversi atau gimik murahan adalah golongan yang paling pemalas.
Menurut Hazeman atau Haze, ada banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menjadi tular namun gimik murahan lebih disukai kerana ia tidak mencabar minda untuk berfikir dengan bijak.
“Saya pernah saja memberi nasihat tentang hal ini kepada mana-mana pencipta kandungan. Bagi saya,banyak lagi cara untuk tular tanpa mengundang kecaman daripada netizen di laman sosial.
“Sebab itu saya kata, mereka yang suka buat tular untuk dapatkan sensasi adalah golongan pemalas. Memang mereka malas nak fikir. Hakikatnya, boleh saja keluarkan sikit sel otak untuk fikir. Tapi mereka tak nak.\
“Benda boleh dibuat, sebab saya pun pernah buat banyak kali. Jadi,jangan malas sangat. Tapi, kita ini boleh kata jangan, tetap susah juga nak ubah pemikiran orang,” katanya.
Haze yang juga seorang ‘content creator’ ditemui ketika sidang media Misi Kemanusian Afrika di Red Card Cafe, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.
Seramai tujuh orang ikon popular termasuk Haze bakal terbang ke Tanzania, Afrika Timur bermula 6 Julai sehingga 19 Julai bagi menyertai misi kemanusiaan anjuran Pertubuhan Impak Prihatin Malaysia atau Impactive Malaysia (IM).
Misi kemanusiaan yang memberikan fokus kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi itu merupakan kunjungan kedua IM ke Afrika selepas lima tahun.
Selain Haze, enam ikon yang akan turut serta terdiri daripada barisan selebriti, personaliti TV, usahawan dan bintang sosial media iaitu Nadzmi Adhwa, Farah Lee, Akhi Fairuz, Que Yahaya, Nazirul dan Aiman Hakim dari Isosynergy Holdings Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Haze memberitahu banyak perbezaan kandungan viral dahulu dan kini selepas program yang pernah dikendalinya itu sudah tiada.
Menurut Haze, kandungan viral yang melampau wujud dengan melata adalah disebabkan permintaan netizen sendiri yang gemar memberi pandangan tanpa diminta.
“Banyak beza viral dahulu dan sekarang. Sejak Motif Viral tak ada, makin teruk macam-macam kandungan yang melampau. Salah siapa? Bagi saya, sebenarnya salah kita semua.
“Saya faham, cara kerja dan fikiran mereka (content creator). Apa yang mereka lakukan sebab ada permintaan daripada kita. Content creator seperti sebuah perniagaan.
“Selagi ada permintaan, selagi itu dia akan beri. Rakyat Malaysia suka beri pendapat walaupun tak ada siapa minta. Maka, keluarkan satu benda viral untuk minta pendapat,”katanya.