KUALA LUMPUR : Hampir 10 tahun berada dalam industri seni, penyanyi, Amira Othman, 28, menganggap masih belum ada rezekinya untuk bertanding di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), antara pentas nyanyian yang menjadi idaman semua pengkarya muzik.
Menurut Amira, bagaimanapun dia sentiasa meletakkan kepercayaan pada rezeki dan apa yang boleh dilakukan kini adalah terus berusaha tampil dengan lagu dan karya yang lebih berkualiti.
“Ya, tak dinafikan sejak berada dalam industri, belum ada kesempatan untuk saya pergi ke pentas besar. Sebelum ini ada satu lagu saya bersama Sufian Suhaimi, Takkan Merubah yang masuk peringkat semi final.
“Tak ada rezeki masuk final. Dari situ saya tahu, adakala apa yang kita rancang tak semestinya terjadi. Ia akan berbalik kepada soal rezeki. Bila tampil dengan lagu Alah Bisa bersama Faizal Tahir baru-baru ini pun, saya akui, harapan itu ada.
“Kalau dapat tembusi pentas besar, itu sangat menggembirakan saya. Tipulah kalau saya rasa tak teringin,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, kata Amira, dia juga tidak menolak begitu teruja berpeluang berduet dengan Faizal yang merupakan idolanya sejak dahulu.
“Saya suka mencuba sesuatu yang baru sejak dah berkecimpung dalam bidang seni ini. Tetapi kalau nak cerita tentang duet bersama penyanyi lelaki, sebenarnya tak ramai penyanyi yang boleh serasi dengan suara saya.
“Saya memiliki suara alto. Jadi, bila dapat peluang duet Alah Bisa dengan Faizal, saya rasa ia satu gandingan yang mengena. Dia memiliki tona suara garau kejantanan yang sedap didengar.
“Kalau kata saya ini ambil aura Faizal, ya, memang. Tak salah pun bukan. Mana tahu dapat masuk AJL lepas ini,”katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia cemburu melihat rakan-rakan seperjuangan di Akademi Fantasia 2013 dahulu dilihat lebih menyerlah berbanding dirinya, Amira memberitahu kejayaan-kejayaan rakannya adalah penguat semangat buat dirinya.
“Saya, Hael Husaini, Nabila Razali dan ramai lagi, kami semua dulu siap ada grup di Whatsapp untuk membincangkan mengenai perjalanan kerjaya masing-masing. Tetapi, itulah kehidupan.
“Bila kita keluarkan sesebuah lagu, ada kala tak menjadi, Bila keluar lagu seterusnya, menjadi pula. Begitu juga dengan dunia lakonan. Saya tak mudah patah semangat. Saya akan terus cuba buat yang terbaik,”katanya.