KUALA LUMPUR : Selebriti dan usahawan popular tanah air, Noor Neelofa, beranggapan, mana-mana individu atau artis yang mencontohi tindakannya untuk tidak berkongsi wajah anak mungkin sama seperti dirinya yang bimbang akan penyakit ain.
Kata Neelofa, 33, dia dan suaminya iaitu pendakwah Haris Ismail atau PU Riz bagaimanapun sehingga kini masih tetap meneruskan tindakan tersebut dalam usaha mengutamakan kesihatan anak mereka, Muhammad Bilal.
“Jika ada yang mempermain-mainkan mengenai perkara itu, sebenarnya seolah-olah mereka main-mainkan kewujudan ‘ain’ la. Saya tak terasa pun yang mereka seakan sindir saya sebenarnya. Tak tersinggung pun.
“Malah hal itu di dalam hadis sahih pun sudah ada. Saya tidaklah arif sangat mengenai perkara ini.
“Saya tetap akan buat ini walau orang kecam mana mana sekali pun, kami fikir mengenai kesihatan serta kesejahteraan anak,” katanya.
Bekas pengacara program MeleTOP itu ditemui di majlis pelancaran Disney X Naelofar Alice In Wonderland di IOI City Mall, Putrajaya,semalam.
Sebelum ini, Neelofa mengakui dia lebih berhati-hati dan belum bersedia untuk berkongsi wajah penuh Bilal bagi mengelakkan penyakit ‘ain (gangguan yang disebabkan pandangan).
Dalam pada itu, Neelofa memberitahu dia juga mahu anaknya membesar seperti kanak-kanak lain termasuk akan berkongsi wajah putera sulungnya apabila tiba masa yang sesuai.
“Tunggulah, bagi dia besar sikit. Bukanlah nak sorok atau tak mahu bagi orang tengok, tidak. Kalau boleh saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.
“Beri masa dia untuk kuat sikit, barulah kita akan bawa dia keluar dan sebagainya,” ujarnya.
Walaupun ada yang mengecam, pendirian tersebut bagaimanapun turut mendapat reaksi baik ramai pihak, termasuk rakan selebriti.
“Macam Elly Mazlein sendiri pernah berkongsi. Dia melihat anaknya lebih ceria dan gembira bila ketika di sekolah, orang tidak kenal dia anak siapa.
“Jadi ia untuk kesihatan mental kanak-kanak. Mungkin kalau pergi mana-mana, kena kerumun atau ambil gambar nanti. Kasihan pada mereka juga,” katanya lagi
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah, PU Riz pada 27 Mac 2021 dan anak pertama mereka Muhammad Bilal dilahirkan pada 29 Januari lalu.