KUALA LUMPUR : Membina rumah tangga bersama suami, Zulkifli Alias hampir dua tahun lalu, penyanyi, Farawahida, bagaimanapun masih tetap enggan membuka mulut mengenai punca kegagalan rumah tangganya yang terdahulu.
Menurut Farawahida, dia enggan hidup dengan cara membanding-bandingkan kerana mahu memfokus pada hal-hal yang positif dan memandang ke hadapan.
“Maaflah, saya tak nak cakap pasal punca atau apa, tentang hal lama. Kalau mereka yang mengenali, memang tahu saya ini jenis yang tak terlaku berkongsi soal peribadi. Saya ini jenis yang banyak ‘simpan’ saja.
“Malah, sebelum ini pun, perkahwinan kedua saya ini tidak saya uar-uarkan sangat kerana perlu menjaga sensitiviti dan privasi keluarga bekas suami,”katanya.
Bagaimanapun, selama melayari rumah tangga dengan suami barunya kini, Farawahida mengaku bahagia dan hidup dengan aman harmoni.
“Alhamdulillah, Allah SWT kurniakan saya seorang suami yang sangat memahami dan kami ini mempunyai minat yang sama. Cumanya, dia tidak minat menyanyi,”katanya berseloroh.
Selain itu, berkongsi mengenai zuriat, kata Farawahida, dia sememangnya tidak pernah menolak jika dikurniakan rezeki zuriat kerana menganggap diri sudah bersedia.
“Insya-Allah, tentang zuriat pula, saya masih lagi menunggu. Siapa yang tak mahu anak bukan? Dengan usia saya sekarang, tipulah kalau saya kata tak nak.
“Itulah antara doa-doa saya dan diharapkan semua pihak juga dapat mendoakan yang baik-baik saja. Manalah tahu, dalam ramai-ramai, Allah itu makbulkan doa kalian,”katanya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi ini memaklumkan bakal muncul dengan sebuah single baru ciptaan Azlan & The Typewritter.
Pun begitu, judulnya masih belum dapat dikongsikan.