Syukur kerana Mat Kilau menafikan kerisauan aku - Azhan Rani. - Utusan Malaysia

Syukur kerana Mat Kilau menafikan kerisauan aku – Azhan Rani.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon versatil, Azhan Rani, turut berkesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof, dan barisan produksi atas hasil karya terbaharu, Mat Kilau yang telah mencipta fenomena tersendiri dalam sejarah perfileman tempatan.

Menurut Azhan, dia mengakui sentiasa menantikan perkembangan mengenai jumlah kutipan tiket filem epik tersebut.

“Hati ini menggelintat nak ke panggung. Tetapi masih belum berkesempatan. Sejak hari pertama filem #MatKilau ini menjadi fenomena, aku dah macam musim Covid-19 dulu.

“Masa itu hari-hari menunggu angka kes dari Kemeterian Kesihatan Malaysia (KKM). Tetapi sekarang hari-hari teruja mahu lihat jumlah kutipan tiket yang tidak pernah tercipta dalam sejarah panggung Malaysia

“Aku tahu sudah banyak ucapan tahniah buat produksi ini, terutamanya buat nakhodanya @syamsulyusoffilm. Namun, selain tahniah aku nak berterima kasih pada dia dan filem #MatKilau ini sendiri,” katanya di Instagram.

Mengulas lanjut, pelakon naskhah popular Nur itu mendedahkan dia juga terkesan apabila pelbagai komen negatif pihak luar terhadap industri hiburan, sewaktu negara ‘teruk’ dilanda penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Masa era pandemik hari itu aku cuma nampak zaman gelap panggung Malaysia. Panggung tanpa cerita baru. Ada pun orang sudah tidak yakin tengok.

“Kenyataan ‘maaf saya memang tidak menonton cerita Melayu’, warga seni diperlekehkan. ‘Artis makan apa hari ini’… macam-macamlah.

“Kadang kala yang konon kawan-kawan sendiri pun membuat hantaran seperti ini. Walaupun tahu aku ada dalam itu, tidak kisahlah di media sosial atau group Whatsapp,” ujarnya.

Pada masa sama, Azhan menzahirkan rasa terharu dan syukur apabila panggung kini mula kembali rancak dengan sokongan para penonton terutama bagi karya-karya penggiat filem tempatan.

“Apa pun, Allah juga sebaik-baik perancang. Sekarang ini aku panjatkan syukur kerana #MatKilau menafikan
kerisauan aku.

“Tidak terkata terharunya aku bila lihat keyakinan orang mula rancak kembali terhadap panggung kita. Yang pernah cakap tidak minat filem Melayu dulu itu pun habis berangkut sekampung datang ke panggung.

“Allahuakbar… semoga #MatKilau memberi inspirasi dan semangat agar panggung kita akan rancak kembali dan lebih banyak karya-karya berkualiti dihasilkan,” tulisnya panjang.

Setakat lima hari tayangan, Mat Kilau berjaya mengumpul sebanyak RM18 juta sekali gus mencipta sejarah filem paling laris terjual di Malaysia mengalahkan filem-filem blokbuster Hollywood.

Karya berdasarkan fakta sejarah yang diadaptasi ke layar perak itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 23 Jun 2022.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta itu diterbitkan Studio Kembara dan dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri, Datuk Adi Putra, dan Wan Hanafi Su.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya