KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni mengesahkan perkhidmatannya setakat hari ini sahaja selepas sembilan tahun berkhidmat.
Hampir sedekad berceloteh di corong radio, dia turut memohon maaf kepada khalayak andai ada khilaf tanpa disedarinya.
“Saya minta maaf kalau ada salah silap. Saya manusia biasa ada buat kesilapan dan saya sayang semua. Haziq Hussni signing off Hot FM,” katanya.
Dalam perkongsian berlainan, Haziq yang juga pengacara terkenal turut memuat naik sekeping foto sebagai kenangan di dalam konti stesen radio berkenaan.
“Saya menamatkan tugas yang bermula sejak Mac 2013 sebagai Zoomers dan Oktober 2014 sebagai penyampai radio.
“Sembilan tahun yang indah, penuh suka duka. Terima kasih semua yang terlibat dalam perjalanan seorang Haziq Hussni di Hot FM. Semoga kita berjumpa lagi,” katanya.