Produksi filem Musyrik ditimpa pelbagai kejadian mistik - Utusan Malaysia

Produksi filem Musyrik ditimpa pelbagai kejadian mistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penggambaran sesebuah naskhah genre seram seakan tidak sah jika tidak terpalit dengan bermacam-macam kisah mistik di sebalik sesi kerja belakang tabir yang dilakukan.

Hal yang sama dialami oleh pasukan belakang tabir untuk filem berjudul Musyrik – Api Neraka Menantimu! yang diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Arjin Uppal.

Menurut Arjin, dia tidak menolak banyak kejadian aneh menimpa mereka di set penggambaran filem tersebut yang turut dibintangi Aeril Zafrel, Ashraf Muslim, Ruhainies, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Kongsi Arjin, 33, antara kejadian pelik dilalui adalah ketika babak Ruhainies memegang batu nisan di tanah perkuburan sekitar jam 3 pagi.

“Batu nisan yang kami gunakan bukan yang dibuat sendiri, sebaliknya saya menggunakan batu nisan sebenar diambil dari tanah perkuburan berkenaan bagi merealisasikan babak ini.

“Ia sepatutnya hanya satu babak panjang, tetapi apabila potong babak ini, kamera masih berpusing dan tidak berhenti seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkannya,” katanya.

Arjin berkata, dia pelik dengan kejadian itu kerana tidak pernah berdepan pengalaman seperti itu sebelum ini.

“Bayangkan, kamera masih menyala selepas suis ditutup. Hanya selepas bateri dikeluarkan daripada kamera barulah ia berhenti berpusing,” katanya.

Bukan sahaja dirinya berdepan kejadian aneh, kata Arjin, ia turut dialami salah seorang pelakon, Aishah yang melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril.

“Ia membabitkan babak Aishah baring dalam kubur. Secara tiba-tiba, seluruh badan Aishah ditumbuhi gelembung gatal dan penggambaran tidak dapat diteruskan,” katanya.

Selaku pengarah, Arjin berkata, dia tetap bertenang ketika berdepan kejadian aneh membabitkan Aishah itu.

“Aishah terpaksa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera.Keadaan Aishah hanya okey selepas berehat dan penggambaran hanya disambung semula pada keesokan harinya.

“Saya percaya kejadian aneh yang menimpa Aishah adalah gangguan mistik,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi, Arjin berkata, penggambaran filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! membabitkan dua lokasi iaitu rumah kampung lama yang tidak berpenghuni dan tanah perkuburan.

“Saya masih ingat, kami diminta penjaga untuk menyiapkan babak di rumah lama berkenaan sehingga jam 12 tengah malam.

“Namun, babak dalam rumah hanya selesai pada jam 2 pagi. Seterusnya, kami terus ke lokasi tanah perkuburan.

“Ketika di tanah perkuburan, saya dapat merasakan sesuatu menyentuh belakang leher. Saya percaya ia gangguan mistik, tetapi saya buat tak tahu,” katanya.

Arjin berkata, dia turut berdepan dengan kejadian aneh ketika penggambaran di kawasan hutan.

“Saya pergi belakang rumah untuk mencuci tangan, tetapi secara tiba-tiba, air paip berhenti mengalir. Perasaan saya bercampur berbaur, tetapi saya perlu kuatkan semangat dan bersabar berdepan satu demi satu kejadian aneh,” katanya.

Mengulas adakah kru juga berdepan gangguan mistik, Arjin berkata, mereka tidak terlepas diganggu ketika penggambaran di kawasan hutan.

“Kawasan hutan itu hanya di belakang rumah lama tidak berpenghuni itu. Sebelum penggambaran, kru masuk hutan untuk memasang lampu terlebih dahulu.

“Secara tiba-tiba, lampu dipasang berkelip-kelip. Mujur, kru tidak panik dan buat tidak tahu hingga lampu menyala semula, sebelum penggambaran dimulakan,” katanya.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysi pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya