KUALA LUMPUR : Pelakon,Hisyam Hamid, mengaku, kemesraannya dengan aktres, Scha Elinnea termasuk memanggilnya dengan gelaran Baby cuma sekadar bagi menjayakan watak dalam drama sahaja.
Memohon agar netizen atau mana-mana pihak salah faham, Hisyam berkata, dia dan Scha kini sedang menjayakan drama berjudul Kerana Aku Isteri Bidaan dan harus melakonkan watak dengan baik bagi memberikan kepuasan buat penonton.
Memegang watak sebagai Farel, Hisyam yang berusia 37 tahun mengaku, dia sendiri yang meminta Scha untuk memanggilnya dengan panggilan ‘baby’ atau ‘b’ ketika berada di set penggambaran.
Bagaimanapun, katanya, panggilan itu tidak digunakan di luar set.
“Saya sendiri yang suruh Scha panggil ‘b’ atau ‘baby’ ketika di set penggambaran. Sebab nak wujudkan keserasian, supaya bila penonton tengok, nampak natural panggilan itu.
“Tapi panggilan itu bukanlah sebab saya nak menggatal dengan dia. Kami memang rapat di set, dah selalu berkongsi masalah. Tapi semua itu bertujuan untuk dapatkan keserasian.
“Lagipun isteri saya pun tahu tentang hal ini. Cuma bila di luar set, tak adalah Scha nak panggil saya dengan panggilan tersebut,” katanya.
Hisyam berkata demikian ketika ditemui ketika majlis pelancaran Fiesta TV3 di Sri Pentas Media Prima, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Drama lakonan Hisyam dan Scha itu turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Silfeny Osman, Wanns Ahmad, Datuk Jalaluddin Hassan serta ramai lagi.
Dalam pada itu, Hisyam turut menjelaskan mengenai babak-babak aksi mesra dengan Scha yang dianggap tidak keterlaluan.
“Sebagai pelakon, ada babak yang kita rasa okay, kita buatlah. Tapi kalau babak yang keterlaluan itu sudah tentu saya tidak akan lakukan.
“Bergantung juga kepada pengarah yang mana babak sesuai atau tidak. Sebab saya tahu, babak mesra itu sensitif, mungkin ada penonton suka dan benci.
“Saya akan lakonkan babak ikut kesesuaian. Macam mana pun, tetap ada juga batasan, tak boleh keterlaluan, “katanya.