KUALA LUMPUR : Sudahlah masih runsing dengan keadaan isteri yang masih lagi berada di dalam wad Unit Rawatan Jantung (CCU), suami Jasmin Hamid, Nazmir Abdul Rahman, 35, terpaksa pula berdepan dengan sindiran dan komen jahat netizen di ruangan media sosial.
Menurut Nazmir yang juga pembantu peribadi Jasmin, dia kesal dan meminta agar netizen berhenti bercakap buruk mengenai dia dan isteri selain berharap semua pihak dapat menghormati situasi isteri yang masih bertarung nyawa di hospital.
“Saya nikahi Jasmin kerana Allah SWT. Terima kasih pada kalian yang bercakap buruk tentang saya dan isteri yang masih lagi di wad CCU kerana serangan jantung.
“Saya mohon hentikanlah komen-komen sebegini sebab takut bila Jasmin terbaca, akan bertambahlah sakitnya. Kalau tak suka kami, abaikan kami,”katanya.
Nazmir berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook selain turut mengepilkan beberapa tangkap layar komen netizen yang berkata buruk tentang dia dan isteri.
Antara komen yang dipaparkan ialah seperti berikut.
“Suami pun kena tenang-tenang, jangan macam kuda.Kan dah masuk hospital…” tulis Temingsari_budu_siam
“Sebab kahwin pucuk muda, hentak sakan sampai kena serangan jantung. Baru sikit tu, yang laki, cuci kaki masuk rumah,” tulis mz_mohd_nan.
“Suami muda itu tak cukup nafas itu,” komen saharuddinzokiat.
Dalam pada itu, Nazmir juga berterima kasih kepada mereka yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.
“Pada yang tak putus panjatkan doa pada Allah untuk Jasmin, saya sekeluarga ucapkan berbanyak terima kasih dan kami kembalikan doa yang baik-baik tersebut buat kalian.
“Pada yang berkata menggunakan emosi, saya serahkan pada Allah,”katanya.
Pada Rabu lalu, pelakon berusia 49 tahun telah dimasukkan ke CCU Hospital Sungai Buloh akibat terkena serangan jantung.
Menurut Nazmir, doktor yang merawat memaklumkan, isterinya mengalami serangan jantung kerana faktor kolestrol dalam badan selain mempunyai sejarah dalam keluarga.
Jasmin dan Nazmir bernikah pada November tahun lalu.