PETALING JAYA: Pencetus Ummah (PU) dan pendakwah bebas, PU Syed Bakri, tampil menegur figura awam beragama Islam yang dilihat aktif mempromosikan iklan pelaburan mata wang asing atau Forex.
Perkara tersebut dikongsikan pendakwah itu menerusi satu hantaran entri Instagram miliknya.
Menurut Syed, dia mempersoalkan mereka yang terlibat berani sehingga menolak tepi soal hukum walaupun Forex telah disahkan haram oleh Jabatan Agama Islam negara ini.
“Halal dan Haram menjadi makanan manusia, tanpa perlu semak dari pihak berautoriti adakah dibenarkan syarak atau ditegah..
“Iklan OctaFX ini semakin rancak dengan sekarang dijemput artis? Untuk promosinya… satu soalan sahaja nak tanya.
“Adakah ia haram atau halal cara dagangannya? Sehingga berani-beraninya orang Islam main benda ini dan disebarkan serata?” katanya.
Mengulas lanjut, pihak berkuasa agama perlu mengambil tindakan segera bagi memantau iklan promosi berkenaan.
“Adakah kita nak sambar apa sahaja peluang untuk dapat wang tanpa ambil kira halal dan haramnya perkara tersebut?
“Mohon pihak berkuasa agama negeri dan persekutuan memantau perkara ini… sebab orang Melayu tahu yang haram hanya babi!
“Umat Malaya sangat memerlukan keperihatinan pihak berkuasa dengan pantas! Bingkas menjawab segala
isu-isu baharu,” tulisnya panjang.
Umum mengetahui, dua selebriti popular tanah air, Fizo Omar dan Wak Doyok dilantik menjadi duta OctaFX iaitu syarikat pelaburan tukaran mata wang
asing atau forex.
Baru-baru ini, tular ciapan yang dimuat naik oleh seorang pengguna yang dikenali Furan Abdullah mempertikaikan bayaran yang diterima oleh dua
orang figura tersebut sehingga sanggup mempromosikan sesuatu yang sememangnya salah disisi agama.
Pada masa sama, Furqan meminta supaya dua orang selebriti untuk kembali ke pangkal jalan yang benar.
Perkongsian itu bukan sahaja menerima kritikan rata-rata warganet, malah mereka turut meluahkan rasa ‘menyampah’ apabila melihat iklan tersebut muncul di saluran Youtube.