KUALA LUMPUR: Trend bangga tayang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 walaupun tak cemerlang di sosial media termasuk TikTok meraih pelbagai reaksi baru-baru ini.
Malah rata-rata, ramai yang tidak senang dengan trend berkenaan kerana ia mampu mempengaruhi pelajar lain untuk tidak perlu belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan cemerlang.
Namun, hakikatnya situasi sebegitu tidak wajar dibanggakan dan hal itu diakui oleh penyanyi, Iman Troye dan menganggap usaha untuk memperoleh sesebuah kejayaan itu yang wajar dilihat memandangkan tidak semua orang tahu pengorbanan di sebalik tabir.
“Saya sendiri pernah berperang dengan peperiksaan SPM pada tahun 2019. Cabaran belajar zaman sekarang dengan kepesatan teknologi media sosial bukanlah mudah.
“Begitu juga dengan mereka yang bergelut belajar di era pandemik Covid-19. Namun, tabik kepada mereka yang tidak lemah semangat dan menjadikan ujian atau cabaran sebagai alasan.
“Sebagai contoh, ada seorang pelajar daripada PTTI, adik Nur Anis yang saya tahu dia ini tak pernah seumur hidup dapat banyak A. Tetapi seputar hidupnya berubah sekelip mata dengan mengikuti teknik belajar di PTTI. Kejayaan seperti inilah yang membanggakan, kita lihat pada usaha dia itu,”katanya.
Menurutnya yang juga duta pusat ilmiah tersebut, dia juga tumpang bangga apabila mendapat tahu hampir 200 pelajar yang mengikuti program di PTTI mendapat peningkatan keputusan daripada gred G ke A dalam peperiksaan SPM 2021 diumumkan 16 Jun lalu.
Malah serentak dengan pengumuman SPM tempoh hari juga, penyanyi lagu Nang itu bersama pusat ilmiah berkenaan menawarkan RM300 kepada 10 pelajar bertuah yang berjaya menaik taraf gred terbabit.
Baru-baru ini, 10 pelajar berkenaan sudah menerima ganjaran ditawarkan.
Selain itu, penyanyi lagu Teman ini juga mengaku bahawa kejayaan seseorang pelajar untuk menaik taraf dan melonjakkan gred daripada gagal ke A bukan satu perkara mudah.
“Namun jelas, tiada apa saja yang mustahil dalam hidup ini. Kesungguhan dan semangat jitu untuk membuktikan peningkatan dalam hidup mahupun pelajaran mampu memberikan pengakhiran yang indah.
“Tiada alasan untuk berjaya. Hanya mereka yang memberi alasan saja sering buntu dalam kehidupan. Malah kita belajar untuk mendapat gred atau keputusan yang baik. Bukan sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengasas PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra disapa Cikgu Fana sendiri memanjat kesyukuran kerana peningkatan gred membabitkan pelajar bimbingan mereka.
“Mesej langsung Nur Anis di Instagram (IG) yang diterima cukup mengujakan saya. Bagaimana dia memuji usaha kami sebagai cikgu PTTI, buat saya sayu. Cikgu mana yang tidak bangga jika anak didiknya tidak mempersiakan ilmu yang dikongsi. Lebih utama kejayaan mereka tentunya membanggakan ibu bapa.
“Syabas saya ucapkan kepada lebih 5,247 pelajar kami yang mendapat keputusan SPM kali ini. Termasuklah hampir 200 yang berjaya menaikkan gred dari G ke A,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pandangannya tentang trend bangga tayang keputusan tidak cemerang SPM seperti ‘straight G’, Cikgu Fana menyifatkan ia bukanlah budaya yang sihat.
“Selama ini kita belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai gred terbaik. Malah jika usaha itu tidak memberikan keputusan cemerlang sekalipun, sekurang-kurangnya kita sudah berusaha.
“Dulu pelajar gagal tebal dengan sifat malu jika mereka gagal mendapat keputusan terbaik. Tapi kini, sebaliknya yang terjadi kerana terlalu mengejar membina ‘content’ di media sosial biarpun ia bukan sesuatu yang patut dibanggakan,” katanya.