KUALA LUMPUR: Bekas pelakon, Wardina Safiyyah, 43, meluahkan rasa sedihnya gara-gara tindakan seorang lelaki yang menganiaya seekor kucing yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Wardina menerusi Instagram Story miliknya, individu yang menyeksa haiwan ini perlu mendapatkan rawatan.
“Individu sebegitu betul-betul sakit. Saya tak boleh tahanlah dengan orang yang menganiaya kucing atau anjing. Jangan seksa haiwan.
“Nak ingatkan saja, buat baik pada binatang boleh masuk syurga, besar pahala. Kalau aniaya binatang?
“Masuk neraka menyiksa binatang sekian! Kita ini semua tidaklah baik sangat… Mungkin dengan jaga kucing dapatlah jalan
masuk syurga,” katanya dengan memetik rujukan Sahih al-Bukhari 3318 buku 59, Hadith 124.
Dalam satu hantaran berbeza, Wardina memberitahu, pelaku seumpama itu mempunyai kecenderungan untuk melakukan jenayah berat seperti membunuh manusia.
“Mereka ini berbahaya dan sakit,” katanya lagi.
Sebelum ini tular satu video mengenai seorang lelaki yang mencurigakan memberi makanan kepada kucing jalanan namun selepas itu lelaki berkenaan mengambil batu bata dan dicampakkan ke atas kepala kucing tersebut.
Dalam perkembangan terkini, lelaki itu dilaporkan sudah ditangkap oleh pihak polis.