KUALA LUMPUR: Pelakon, Elisya Sandha memohon maaf dan doa agar proses bersalin yang dijangka hari ini dipermudahkan.
Kongsi Elisya, 22, menerusi akaun Instagram miliknya, turut mendoakan semoga suaminya, Uzair Haqimy, 26, menjadi seorang bapa yang terbaik buat bakal zuriat mereka.
“Awak akan menjadi seorang bapa dan yang terbaik. Minta semua doakan urusan saya dipermudahkan, maaf atas salah dan silap.
“Saya dan anak bersyukur adanya awak dalam kehidupan kami berdua. Terima kasih sebab sudah bersabar dengan saya sepanjang sembilan bulan lalu,” katanya.
Sementelah itu, Uzair mengakui pengorbanan isterinya tidak ternilai dan dia mengagumi aura Elisya yang bakal bergelar seorang ibu.
“Dalam banyak-banyak jasa saya kepada awak selama ini, dan selamanya. Tidak akan pernah dapat saya tandingkan dengan jasa awak yang ini sayang.
“Saya kagum dengan kekuatan yang awak ada ini sayang. Awak seorang yang kuat, wahai ibu.
“Minta jasa baik semua yang melihat kandungan ini untuk doakan hanya yang terbaik untuk isteri saya. Saya amat menghargai sangat, terima kasih,” coret Uzair.
Untuk rekod, pasangan Elisya dan Uzair berkahwin pada Ogos tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 31 Januari 2021.