KUALA LUMPUR : Sempat menghasilkan sebuah lagu daripada tirai besi yang berjudul Bebaskan Aku, penyanyi dan komposer yang kini dipenjara di Sungai Buloh sejak Mac lalu sempat menyanyikan lagu tersebut buat anaknya, Malaika, 14.
Hal itu dimaklumkan oleh pihak keluarga Yasin menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya kini hari ini.
“Semasa lawatan ke penjara yang lepas, Malaika telah meminta ayahnya untuk menyanyikan lagu ini untuknya.
“Beberapa hari kemudian, kami meminta Yasin untuk menyanyikan semula lagu ini menerusi panggilan telefon supaya ia dapat direkodkan dan dihayati oleh semua,”tulis pengendali akaun tersebut.
Menerusi hantaran video yang disertakan, dapat didengar Yasin sedang menyanyikan lagu tersebut sepenuhnya sehingga habis.
Menerusi ruangan komen, dapat dilihat ramai meninggalkan kata-kata semangat buat Yasin selain mendoakan kesejahteraannya di penjara.
“Tak kuat nak dengar sampai habis. Semoga abang Yasin terus kekalkan semangat yang positif, ramai yang mendoakan,” tulis justice4yasin.
“Ia memberikan kesan mendalam buat saya. Seseorang yang mempunyai sakit anxiety, ‘tirai besi’ ini seakan anxiety yang kami alami tanpa penghujung. Kami reda, kami berjuang.
“Mereka yang mengalami penyakit yang sama, tak kisahlah bipolar, depresi, anxiety, Allah SWT bersamamu. Semoga Allah bebaskan dari cengkaman jiwa ini,” tulis Zul.brhms.
“Semoga abang Yasin dapat inspirasi buat lagu lagi. Semoga ada artis yang buat lagu ini pergi jauh dan boleh terjual demi perbelanjaan peguam nanti,” tulis fahmi_othman87.
Pada 31 Mac lalu, Yasin yang terkenal melalui lagu ‘Mimpi Laila’ berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.
Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.