KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz pelakon, Harris Annuar, 29, sah bergelar suami kepada pelakon Asha Merican, 25, pukul 3 petang di Magica Hall Star Avenue, Shah Alam.
Ketika dihubungi, Harris meluahkan rasa lega selain perasaannya yang bercampur aduk.
“Pendek kata ada dua orang saya kena jaga sekarang, sebelum ini sepenuh masa jaga emak. Perasaan sedih jugalah bila sudah lafaz.
“Untuk makluman, sebenarnya kami sudah menjalinkan hubungan cinta empat tahun, dan tak pernah mendedahkan hubungan kami.
“Hari ini, setelah akad nikah dan lepas lafaz sahaja, kami rasa lega sangat sebab dapat luahkan apa yang tersimpan, iyalah sebab rahsiakan,” katanya.
Ditanya tentang bulan madu, Harris dan isteri masih belum memikirkannya kerana jadual kerja masing-masing padat.
Untuk rekod, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu berkongsi mas kahwin sebanyak RM1001.
Terdahulu Harris turut berkongsi sekeping foto di akaun Instagramnya beserta coretan ringkas.
“Selepas empat tahun. Assalamualaikum isteriku Asha Merican,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, majoriti pengikut dan rakan industri melahirkan ucapan tahniah buat kedua mempelai.
Sebagai informasi, pasangan sama cantik sama padan itu akan melangsungkan majlis resepsi di tempat sama mereka akad nikah pada Ahad, 12 Jun 2022.