KUALA LUMPUR: Penyanyi, Elizabeth Tan mengakui teruja dengan kemunculan single duet terbarunya bersama penyanyi Zynakal berjudul Narsis.
Menurut penyanyi Semua Sudah itu, kesibukkan kerja sebagai pelakon membuatkan dia sudah lama tidak muncul dengan lagu-lagu baharu.
“Lama tak muncul dengan mana-mana single dan baru saja selesai penggambaran drama, barulah ini saya ada peluang untuk masuk ke studio untuk rakam lagu.
“Sebenarnya saya banyak menerima tawaran berlakon dan kebanyakkan proses penggambaran selalunya memakan masa yang lama. Selain itu saya juga lebih fokus dengan keluarga setelah berumah tangga pada tahun lepas.
“Lagu ini juga agak peribadi bagi saya kerana saya pernah mengalami situasi berdepan dengan insan sebegini di mana saya diperlakukan dengan teruk dan tidak adil,” katanya.
Tambah Lizzy pihak Pengarah A&R Pemasaran Domestik, Raqeem Brian mencadangkan agar dimasukkan rangkap rap yang dinyanyikan oleh Zynakal selepas mendengar demo yang diberikan oleh pihak MFMF seperti ada yang kurang.
Sementara itu, Zynakal memuji Lizzy kerana tahu apa yang terbaik dalam menghasilkan single duet Narsis.
“Saya dengan Lizzy sememangnya sebumbung, jadi pihak Warner yang mencadangkan agar kami dipadukan dalam sebuah single pop dansa ala Korea yang popular tatkala ini.
“Bagi saya, Lizzy adalah seorang artis yang berbakat dan sangat komited, dia tahu apa yang diperlukan untuk menaikkan sesebuah karya sehingga betul-betul menjadi.
“Untuk rangkap rap dalam lagu ini, saya sendiri menulis liriknya serta menambah flavour Zynakal melalui nyanyian rap saya,” katanya.
Untuk rekod, Narsis boleh dimuat turun di
semua aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV pula boleh ditonton secara eksklusif pada tarikh yang sama hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.