KUALA LUMPUR: Pelakon, Rafidah Ibrahim memaklumkan dirinya mengalami keguguran bayi sulung yang sudah memasuki usia kehamilan empat bulan pada Jumaat lalu.
Khabar duka itu dikongsi menerusi Instagram miliknya malam tadi dan menurut Rafidah, badannya mengalami kesakitan namun mencuba untuk menahan sehingga kemudiannya mendapati janin terkeluar dari rahimnya.
“Petang, dari pukul 5 perut saya rasa terlalu sakit dan saya sangkakan angin yang terlalu teruk dalam badan terutama di bahagian bawah perut. Saya biarkan dan berehat walaupun sakitnya hanya Allah saja yang tahu.
“Sebelum masuk waktu Maghrib dan sebelum berwuduk, saya berhadas kecil, dan pada ketika itu terasa sesuatu ingin keluar. Saya terus memanggil suami dan cakap ada sesuatu nak keluar dan suami kata, biarkan.
“Saya tadahkan tangan, pada waktu itu, janin keluar di atas tapak tangan dan saya ada rasa sedikit pergerakan sebelum suami memotong tali pusat,” katanya.
Pesan pelakon itu, sekiranya berlaku pada wanita hamil lainnya, berusahalah untuk terus ke hospital dan jangan melakukan tindakan sendiri bagi memudahkan proses mencuci uri bayi.
“Pada waktu itu, perasaan panik ada, nak nangis pun ada tapi bila saya pegang janin itu, Subhan-Allah indahnya ciptaan Allah SWT.
“Perasaan panik dan sedih tadi bertukar serta merta jadi gembira saat saya dan suami melihat keindahan ciptaan Allah itu walaupun belum sempurna tapi sudah cukup sifat.
“Saya yakin para ibu bapa yang sudah menimang cahaya mata, perasaan yang sangat-sangat menggembirakan dan terubat segala rasa pedih,” luahnya.
Dalam hantaran yang sama, bekas juara program Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 itu menambah, dia ditahan satu malam di wad Hospital Wanita & Kanak-kanak Kuala Lumpur (HWKKKL) bagi tujuan pemantauan.
Katanya lagi, jantina bayi tidak dapat dikenal pasti, tetapi dia dan suami menamakan anak mereka sebagai Abdullah kerana ia membawa maksud hamba Allah.
Kongsi Rafidah jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang.
Untuk rekod, Rafidah berkahwin dengan bekas pengurusnya Shahzemir Shahzulkarib, 37, pada 5 Mei 2021 selepas lebih 10 tahun berkenalan.
Pada tahun lalu, Rafidah juga pernah mengalami keguguran pada minggu pertama November.