KUALA LUMPUR : Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam,68, mengaku, dia tidak ingin hubungannya dengan Syamsul berterusan dingin meski tahu banyak pihak kini mencari dirinya untuk mengesahkan spekulasi anak sulungnya itu yang didakwa akan berkahwin dengan Ira Kazar.
Menurut Yusof, kali ini, dia memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi Syamsul dan berharap empunya diri berani menyelesaikan masalahnya sendiri.
Kata Yusof, tindakan ini dibuat kerana dia mahu menjaga hati pelbagai pihak termasuk Syamsul sendiri.
“Nak kata terkilan pun tak boleh. Saya kena jaga hati semua orang. Dah tua begini, kadangkala, kita yang kena jaga hati orang muda, bukan orang muda jaga hati kita. Sebagai orang tua, saya beralah. Saya pun tak nak bergaduh dengan Syamsul.
“Saya doakan yang terbaik untuk anak, menantu, besan dan semua orang, tak kira siapa. Makin kita tua ini lebih nak menjaga hubungan baik dengan semua orang.
“Apa yang berlaku ini, mudah-mudahan Allah SWT telah sediakan hikmah yang besar yang mungkin kita semua pun tak tahu. Hanya Dia yang tahu,”katanya.
Yusof berkata demikian semasa ditemui di majlis tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang diadakan di The Starling Mall, di ibu kota, semalam.
Selain itu, ketika ditanya oleh Utusan Malaysia, Yusof bagaimanapun menafikan dia cuba bersikap tenang dengan segala kontroversi yang berlaku.
“Mana awak tahu? Gelora di jiwaku! Tapi saya tetap mendoakan yang terbaik buat semua orang. Ini asam garam kehidupan. Saya sendiri ada zaman saya dulu dan semua orang ada masalah masing-masing.
“Saya sayangkan anak dan menantu dan semua orang yang terlibat. Saya tak nak lukakan hati orang terlibat. Kita bersangka baik sahajalah. Di usia sekarang saya pun tak nak stres pasal hal begini.
“Kehidupan orang biasa pun ada yang lalui hal begini. Sebagai selebriti, kita kenalah lalui apa sahaja. Kalau tak berani, bukan disini tempat kita,”katanya.
Dalam pada itu, Yusof juga sedar dia mungkin tidak dapat menghalang netizen daripada berkata dan memberi komen di ruangan media sosial.
Namun, dia berharap masing-masing usahlah mengeruhkan keadaan dengan memberikan komen yang melampau.
“Saya pun tak kata sebelahkan anak sendiri atau mana-mana pihak. Saya ini di tengah-tengah dan kalau boleh cuba mencari jalan terbaik. Netizen komenlah yang membina, kita pun tak tahu cerita sebenar, saya nak cakap lebih pun, dia tak tinggal dengan saya,”katanya.
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila sebuah blog hiburan melaporkan seorang pengarah terkenal bakal berkahwin dengan kekasihnya yang juga anak kepada pelakon drama veteran.
Memetik sumber, laporan itu menyebut, pengarah terbabit dikatakan sudah berjumpa bakal bapa mentua bagi membincangkan hasratnya.
Sebelum ini, desas-desus mengenai rumah tangga Syamsul dan isterinya, Puteri Sarah juga pernah didakwa dilanda masalah hingga mendapat perhatian netizen.
Malah, Puteri Sarah juga mengaku sudah lama tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul dan mendakwa suaminya itu tahu kenapa dia bersikap ‘dingin’.
Syamsul juga dilaporkan mengaku mereka sudah tidak tinggal sebumbung tetapi tidak bermaksud mahu berpisah.
Pasangan itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.