KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty, lebih selesa untuk memilih cara berdiam diri jika soalan yang diajukan kepadanya merujuk kepada hasrat dan urusan perkahwinan bekas suami, Azri Iskandar.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, pelakon berusia 52 tahun ini bagaimanapun menjawab secara ringkas namun tidak mengulas mengenai kontroversi bekas suaminya yang bertebaran kini.
“Saya tak nak cakap apa-apa buat masa ini. Maaf… terima kasih,”katanya.
Bagaimanapun, sebelum ini, menerusi satu temu bual yang pernah dibuat oleh wartawan Utusan Malaysia bersama Ellie, dia ada menyatakan akan mendoakan kebahagiaan buat bekas suaminya itu dalam apa jua keadaan.
“Tak apalah, yang penting, ikatan kekeluargaan kami tidak putus. Kalau kena bekerja dengan Azri pun selepas ini, saya tiada masalah. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan Azri dan masa depan dia,”katanya.
Petikan temu bual itu telah disiarkan pada 25 Mei lalu di portal Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Azri dan Ellie Suriaty bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 17 Mei lalu.
Namun, selepas bercerai, muncul pula kenyataan Azri yang mengesahkan ingin mengahwini wanita pilihan yang juga merupakan seorang penulis skrip, Dr. Azra Diera, 43, bulan ini.
Menurut laporan media, dia bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini.