KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle mengaku sangat teruja apabila dipilih mewakili Malaysia untuk merakamkan semula versi duet penyanyi terkenal British, Calum Scott, yang berjudul Heaven.
Menurut Diana, 31, biarpun rakaman dijalankan secara berasingan, dia tetap teruja dan berharap diterima baik oleh pendengar.
“Saya masih cuba nak fahamkan apa yang terjadi (tertawa) sebab semuanya berlaku dengan pantas.
“Masa dapat panggilan dan dimaklumkan oleh produksi Scott, saya betul-betul terkejut dan teruja pada masa sama.
“Secara peribadi bagi saya lagu ini menggambarkan kita semua berkongsi langit yang sama. Tak kira apa sahaja yang sedang kita lakukan,” katanya.
Sementara itu, Scott berkongsi projek yang melibatkan penyanyi Asia kerana mahu menghargai peminat yang sedia ada, disebabkan itu Scott memilih Diana yang sebelum ini difahamkan Diana ada terlibat dalam kontes Tik Tok Heaven.
Untuk rekod, selain dari Malaysia, lagu Heaven menampilkan tiga lagi barisan penyanyi ternama iaitu dari Filipina, Indonesia dan Vietnam sebagai rakan duetnya.
Kedua bintang terkenal tersebut berkongsi perkembangan seni mereka ketika sidang media dalam talian baru-baru ini.