PETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Aina Abdul, mengaku dia lebih gemar menonjolkan kelainan menerusi penampilannya semasa menggayakan busana pertama pada konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0.
Dia berkata demikian selepas menerima komen warganet yang menganggap penyanyi itu tidak yakin dengan dirinya sendiri.
Menurut Aina, kelainan yang dipersembahkan dapat membantu menonjolkan persona dalam dirinya selain mempunyai pasukan yang sangat membantu bagi proses kreatif menjadi lebih menarik.
“Pakai baju ini seperti impian menjadi kenyataan. Dibuat dan dipilih dengan butiran oleh pasukan saya.
“Banyak saya terima komen, apabila saya jadi berlainan, orang sangka saya tidak yakin dengan diri sendiri.
“Tetapi, terus terang, saya sangat suka menjadi lain, sebab ia membantu untuk menonjolkan persona dalam diri saya dan bila ada pasukan yang gila-gila seperti saya, proses kreatif makin menarik,” jelasnya.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Sepi itu menerusi satu coretan di Instastory di entri Instagram miliknya.
Pada malam berkenaan, Aina mencuri perhatian penonton apabila menggayakan busana pertama mempunyai perincian rambut sebagai material utama.
Katanya, busana rona hitam tersebut terhasil menerusi perbincangan bersama penata gayanya, Abu Shaef Hamza.
“Kesemua persalinan ada ceritanya masing-masing. ‘Outfit’ yang pertama boleh dikatakan sebagai ‘the alter-ego of Aina Abdul’. Ia menggunakan lebih 150 unit rambut palsu yang diimport dan dicampur bersama rambut asli.
“Agak berat untuk dipakai tetapi selesa, kukuh. Persalinan tersebut dibuat pereka Melinda Looi. Sebenarnya idea untuk menggunakan material rambut sebenarnya datang hasil perbincangan bersama Abu. Ketika itu, konsert ini belum lagi terjadi atau dibincangkan.
“Tetapi saya selalu beritahu Abu, saya mahu menggunakan material ‘rare’ yang mana orang tak kan terfikir. Apa lagi yang boleh beri atau dipersembahkan. Lalu dia ada tunjukkan satu gambar busana baju rambut di mana rekaannya belum saya lihat lagi,” kongsinya panjang.
Aina berkata demikian ketika ditemui di konsert ANWAA 2.0 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu.
Selain persalinan berkenaan, dua lagi busana turut digayakan Aina jaitu gaun kembang rona jingga rekaan Zaimi Zulkafli dan gaun sarat tassel rekaan Rizaman Ruzaini.
Baju ilham Kuntum pula dipakai penyanyi tersebut khas untuk sidang media dan sesi meet and greet bersama para peminatnya.