KUALA LUMPUR : Tiba-tiba dikejutkan dengan dakwaan menawarkan khidmat seks kepada lelaki tertentu, pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim, 40, enggan berdiam diri.
Menganggap fitnah itu sebagai melampau, Fiza, mengaku amat terkilan kerana wujud cerita tidak benar seperti itu yang dibimbangi akan menjejaskan reputasi dirinya.
“Sebenarnya, saya ini malas nak layan sebab tak tahu nak kata apa. Saya tahu fasal fitnah itu pun sebab peminat yang hantar kepada saya.
“Kalau saya diam saja, orang anggap berita itu betul. Kalau jelaskan pun, mesti ada yang kata tipu. Saya pun tak tahu dah nak kata apa.
“Ibu saya sudahlah tengah sakit sekarang ini. Dia baru saja disahkan menghidap penyakit kanser usus, dah peringkat tiga. Tiba-tiba datang pula masalah lain macam ini,” katanya.
Fiza berkata demikian bagi mengulas kewujudan sebuah akaun Instagram yang berkongsi pendedahan kononnya Fiza membuat maksiat dengan seorang pelanggannya dalam bilik air di sebuah hotel terkemuka.
Menerusi perkongsian itu juga, terdapat paparan skrin beberapa status pengguna Twitter yang mendakwa pernah membayar Fiza untuk pengkhidmatan seks.
Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Elite ini menegaskan dia tidak akan melakukan perbuatan terkutuk yang boleh memalukan diri sendiri dan keluarga.
Menurut pelakon berusia 40 tahun itu, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak kerana menyedari ramai orang iri hati melihat kebahagiannya.
“Boleh fikir sendiri, logik ke tak. Tak akanlah saya nak buat maksiat di tempat umum dan malukan diri sendiri dengan berkongsi di laman sosial.
“Agak-agaklah nak sebar fitnah sampai macam itu sekali,sangat melampau! Saya ada anak dan keluarga, tak akanlah saya nak buat benda terkutuk itu.
“Saya tak tahu siapa penyebar fitnah itu dan apa motif dia. Saya tak berani nak tuduh siapa sebab ramai orang dengki tengok kebahagian kita,”katanya.