KUALA LUMPUR : Kumpulan BTS yang berjaya mencipta fenomena seantero dunia, mengumumkan mereka akan berehat seketika daripada aktiviti seni berkumpulan bagi memfokus kepada projek solo masing-masing.
Bagaimanapun, pengumuman itu tidak merujuk kepada tindakan untuk berpecah selain memberi jaminan bahawa mereka akan kembali bersama menghasilkan lagu kelak.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh mereka dalam sebuah video di Youtube yang memaparkan ketujuh-tujuh anggota kumpulan ini sedang berbincang mengenai harapan mereka sebagai sebuah kumpulan dan juga artis solo.
Menerusi video berdurasi satu jam itu, anggotanya, V, memberitahu dan memberi jaminan kepada peminat-peminat bahawa mereka tidak akan berpecah tetapi cuba mencuri sedikit masa untuk memberi tumpuan dalam kerjaya solo masing-masing.
Selain V, Jungkook juga berkata mereka telahn berjanji akan kembali sebagai sebuah kumpulan untuk projek bersama suatu hari nanti selain meminta peminat-peminat supaya memahami keputusan yang diambil oleh mereka.
Difahamkan, pengumuman itu muncul selepas J-Hope diumumkan sebagai artis barisan hadapan Festival Lollapalooza Chicago yang akan diadakan pada Julai ini dan Jung Kook pula mengumumkan kelahiran single solonya yang berjudul My You pada Ahad lalu.
Dalam pada itu, berita mengenai hasrat untuk berehat ini bukanlah yang pertama kali berlaku terhadap kumpulan BTS dan difahamkan, sejak tahun 2019, ia pernah terjadi sebanyak tiga kali.