KUALA LUMPUR : Vokalis kumpulan Bunkface, Sam, 35, enggan menjadikan perceraiannya dengan bekas isteri sebagai alasan untuk dia menjadi seorang bapa yang tidak adil terhadap anak sulungnya meski kini sudah mempunyai keluarga baru.
Menurut Sam, selagi boleh, dia cuba memberikan yang terbaik buat keluarganya dan ia termasuklah buat Maleeq, 6, putera sulung hasil perkahwinannya dengan Aida Azira Husin sebelum bercerai dengan wanita tersebut pada 2019.
“Kita ini sebagai ibu bapa, tak boleh pentingkan diri. Pasal perceraian ini, akan beri kesan pada anak kalau kita tak jaga dengan baik. Sebagai ibu atau bapa, kita kena beri perhatian pada anak, beri dia tenang, kebahagiaan, pendidikan, nafkah dan banyak lagilah aspek lain.
“Alhamdulillah, Allah SWT mencukupkan semua itu buat saya dan yang penting, setiap minggu akan berjumpa dengan Maleeq. Bukan setakat berjumpa, tetapi setiap minggu saya dan bekas isteri akan bergilir-gilir jaga Maleeq tanpa gagal.
“Kena seimbangkan perhatian dan kasih sayang itu buat Maleeq supaya dia tidak terasa terasing.Dia pun bukan ada kami saja, dia pun ada keluarga besar dia lain, saudara mara bahkan datuknya. Jadi ada masa, memang dia kena juga berjumpa,”katanya.
Sam berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Konsert Bunkface! 15 Years of Korang yang diadakan di ibu kota hari ini.
Selain itu, kata Sam, dia juga kagum dengan perkembangan dan tumbesaran anak sulungnya itu yang semakin bijaksana.
“Dia sudah pandai baca surah Al-Fatihah, dah pergi sekolah. Sebenarnya, Maleeq ini seorang anak yang mudah bergaul sebab dia dari usia enam bulan lagi kami dah masukkan dia ke taska.
“Dia juga tahu kini ada ibu tiri dan menggelarkan isteri saya dengan panggilan mummy. Kehadiran adiknya, Idris yang kini dah berusia 11 bulan pun membuatkan dia sangat gembira. Dia sangat sayangkan adiknya itu,”katanya.
Sementara itu, Sam memaklumkan dia bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi apabila isterinya, Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi dijangka bakal bersalin pada awal Ogos ini.
Memberi sedikit perkongsian, kata Sam, melalui pemeriksaan, doktor yang merawat memaklumkan jantinya anaknya itu adalah perempuan.
“Saya sebenarnya sangat gembira dengan kehidupan kini memandangkan tak lama lagi pun nak dapat anak baru. Isteri saya dijangka bersalin pada 5 Ogos nanti, sejurus sahaja Bunkface selesai menjayakan konsert pada penghujung bulan depan.
“Nama itu sudah ada, tapi tak apalah saya tak nak beritahu dulu. Saya bersyukur kerana anak juga adalah satu kurniaan dan rezeki daripada Allah,”katanya.