KUALA LUMPUR : Suasana harmoni dan kemeriahan majlis perkahwinan secara tertutup penyanyi popular antarabangsa, Britney Spears dan Sam Asghari dikhabarkan telah dicemari dengan insiden pencerobohan bekas suaminya, Jason Alexander.
Menurut laporan media antarabangsa, bekas suami pertama penyanyi itu didakwa menceroboh dan memasuki kediaman Britney ketika upacara sedang berlangsung.
Dalam kejadian tersebut, Jason dikatakan turut merakam dirinya sendiri menggunakan telefon pintar ketika menceroboh rumah Britney dan menganggu majlis perkahwinan tersebut.
Alexander turut dilihat bertengkar dengan kakitangan yang bertugas di majlis itu yang telah memintanya untuk beredar.
Jason kemudiannya ditahan oleh pihak polis dan menerusi foto yang tersebar, dia dilihat turut terbaring di lantai sewaktu ditahan.
Peguam Britney, Mathew Roseangart bagaimanapun memaklumkan pihaknya akan memastikan lelaki terbabit menerima hukuman setimpal disebabkan kejadian itu.
Dalam pada itu, difahamkan, penyanyi lagu Baby One More Time ini melangsungkan majlis perkahwinan secara tertutup dan cuma dihadiri 100 tetamu sahaja.
Difahamkan juga, hanya abangnya, Bryan Spears yang dijemput untuk hadir manakala ibu bapa dan adiknya, Jamie Spears tidak diundang rentetan konflik yang pernah terjadi dan menggemparkan dunia hiburan sebelum ini.
Terdahulu, Britney bertunang dengan Sam pada April lalu sebelum kemudiannya mengumumkan dirinya hamil.
Untuk info, Britney juga mempunyai dua orang anak, Preston, 16, dan Jayden James, 15, hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Kevin Federline.