Awesome TV tumpang bangga dengan Pak Nil - Utusan Malaysia

Awesome TV tumpang bangga dengan Pak Nil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV menzahirkan rasa gembira terhadap pengacara popular yang juga merupakan mentor kepada barisan penyampai ‘Berita 7:57’, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil yang diangkat sebagai penerima trofi ‘Anugerah Khas MeleTOP’ sempena AME 2021 baru-baru ni.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, Keluarga besar Awesome TV turut menumpang gembira dan berbangga dengan pengiktirafan penuh bermakna yang diterima oleh Pak Nil tersebut.

“Kredibiliti dan reputasi beliau dalam dunia penyiaran khususnya bidang pengacaraan tidak perlu disangkal. Portfolio cemerlang dan pengalaman Pak Nil yang aktif menabur bakti sepanjang 32 tahun berkecimpung sebagai penggiat seni meletakkan dia sebagai karyawan yang paling layak untuk menerima penghormatan tersebut. 

“Semoga kejayaan Pak Nil dapat menyuntik motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada generasi pelapis untuk melangkah lebih jauh dalam berkarya walau apa jua cabang seni yang diceburi. 

“Dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Pak Nil suatu hari nanti,”katanya.

Pak Nil telah memulakan tugas sebagai tenaga pengajar untuk ‘Berita 7:57’ secara rasminya pada 1 Mac lalu. 

Berperanan sebagai ‘Mentor’, dia dipertanggungjawabkan untuk melatih dan membimbing barisan penyampai berita daripada segi pembinaan karakter, pembentukan bahasa tubuh yang efektif.

Ia merangkumi ekspresi wajah, gerakan badan, lontaran suara, disiplin pengucapan awam terutamanya di hadapan kamera, teknik berinteraksi, imej dan keterampilan diri serta banyak lagi.

Turut mengulas mengenai program ‘Berita 7:57’ ialah Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak yang menganggap stesen televisyen merupakan cermin masyarakat.

“kami bertanggungjawab dalam memastikan arah tuju pemberitaan kami terus konsisten dalam mengupas kandungan berita berkaitan isu-isu semasa secara vokal, jujur dan terbuka tanpa berat sebelah.

“Sesetengah pihak mungkin beranggapan pendekatan kami ini agak agresif yang boleh mengundang reaksi kurang senang. Namun, kami tetap berani berpegang kepada kebebasan media demi memberi teguran membina sambil menyalurkan maklumat kepada rakyat. 

“Ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri Malaysia,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di perasmian Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 baru-baru ini yang mengakui profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini,”katanya.

Mengangkat slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’, program ‘Berita 7:57’ yang mula dilancarkan pada 1 Februari lalu bersiaran secara langsung pada setiap hari, Isnin hingga Ahad, jam 7.57 malam di platform Astro saluran 123 dan MyTV saluran 112.

Menerusi durasi 33 minit, ‘Berita 7:57’ membawakan laporan harian yang merangkumi berita-berita nasional, tempatan dan luar negara merentasi segmen politik, isu semasa, ekonomi, jenayah, hiburan dan sukan.

Program ‘Berita 7:57’ dikemudikan oleh barisan personaliti berita yang dibimbing sendiri bertanggungjawab untuk mengendalikan slot harian secara bergilir-gilir. Berada di bawah bimbingan Pak Nil, mereka terdiri daripada Nadhra Mohd, Adriana Ghafar, Justin Ang, Mosen Nadzli dan Kamalia Jamaludin. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya