KUALA LUMPUR : Masih heboh diperkatakan ramai orang, Ifa Raziah, meluahkan rasa hairan mengapa warganet begitu tidak senang hati dengan gelaran Datuk yang diterimanya sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Ifa, ada atau tidak gelaran tersebut, hakikat sebenar yang semua pihak harus tahu adalah dia tetap berhempas pulas bekerja demi mencari pendapatan hidup.
“Lantaklah kalau orang masih lagi nak pertikai pun. Ada atau tidak gelaran itu, hidup saya sama saja. Tetap kena kerja. Tak ada beza.
“Benda ini, daripada hari itu lagi saya cakap, tak ada isu pun. Kalau betul saya ini bongkak nak suruh orang wajib panggil diri dengan gelaran Datuk itu, dah lama dah saya akan suruh.
“Tapi tidak bukan? Orang tetap panggil saya Ifa.Melainkan untuk tujuan majlis rasmi, biasanya saya lebih selesa dipanggil Ifa sahaja,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, kata Ifa, dia juga tidak berkecil hati jika ramai masih mempertikaikan hal itu kerana baginya selama ini dia selesa untuk kekal bersikap ‘low-profile’.
“Ada juga yang mempertikai tentang palsu atau tidak gelaran tersebut pada saya. Ramai lagi yang ada pangkat Datuk yang dibeli, tapi bukan saya ya.
“Tak payahlah saya nak jelaskan panjang-panjang pun tentang hal ini, bagi saya terpulang pada pandangan masing-masing. Saya pun tak pernah berlegah dengan apa yang saya dapat.
“Peliklah juga. Aku tak bermegah pun orang pertikai? Aku riak pun orang marah, aku tak riak pun orang marah. Apa sahaja yang netizen kita ini mahukan ya? Walhal saya ini tetap sibuk kena kerja, bukan dapat pangkat maka boleh duduk goyang kaki,” katanya.
Untuk rekod, Ifa, 47, dikurniakan darjah Ahli Setia Ditaja dari negeri Perak pada Januari 2016.