KUALA LUMPUR : Umum mengetahui hubungan cintanya dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Vida tidak sampai ke jinjang pelamin dan sejak itu, penyanyi dan selebriti media sosial, Iqbal Zulkefli masih tidak mempunyai kekasih.
Hal itu juga dikongsi oleh Iqbal dalam laman Instastory miliknya semasa menjawab pertanyaan netizen yang ingin mengetahui status dan kehidupan peribadinya.
“Jujur saya nak tahu, Iqbal dah ada girlfriend (eman wanita) atau seseorang yang istimewa di hati? Jawab dengan jujur,” tanya netizen.
Berikutan itu, kata Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Zulkefli, mendapatkan pasangan hidup yang boleh menerima kekurangan serta susah senang bersama tidak semudah yang disangka.
Malah kata bekas peserta program Big Stage 2022 itu, ada masa air matanya mengalir memikirkan soal jodoh sebelum tidur.
“Belum (kekasih). Kadang-kadang saya stres fikir tentang jodoh. Saya boleh beli apa sahaja yang saya mahu tetapi pasangan hidup, ia tak semudah itu.
“Menemui orang yang jujur, sanggup susah senang dan boleh terima segala kekurangan, ia tidak mudah. Tak semudah orang ramai bertanya ‘Iqbal bila nak kawin? Iqbal dah ada semua kenapa tak kawin? Iqbal, kawin sajalah’.
“Kadang-kadang saya menitis air mata di tengah malam. Tolong doakan saya ya,” kata Iqbal.
Sebelum ini, usahawan berusia 28 tahun itu pernah merancang untuk meminang Vida atau DSV pada tahun lalu namun hubungan mereka berakhir disebabkan konflik yang berlaku.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hujan ini juga menjawab persoalan netizen yang ingin melihat gambarnya ketika zaman kanak-kanak.
“Ini gambar saya. Ketika lahir, kulit saya betul-betul gelap seperti orang India. Sampaikan orang fikir ibu saya bela anak angkat. Berganjak usia tiga tahun terus berubah muka macam cina.
“Sebelah ayah saya ada Arab, Pakistan, India, entahlah. Saya pun pening. Apa yang penting saya sihat,” katanya.