KUALA LUMPUR : Penyanyi rap dan selebriti media sosial popular tanah air, Caprice, 34, mendedahkan sudah beberapa kali isterinya, Farra Inalis, 27, terpaksa menerima rawatan secara alternatif dipercayai kerana mengalami gangguan tertentu.
Menurut Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, dia banyak menyembunyikan kekusutan di belakang kamera dan media sosial serta di sebalik senyuman yang dipaparkan kerana enggan lebih ramai orang bersifat menghukum.
“Sebelum ini, saya fikir, selepas kahwin, tentu ujian akan lagi berkurangan. Di sebalik semua senyuman, filters dan video-video yang dipaparkan.Sebenarnya, sejak tujuh bulan lalu, saya melalui banyak benda baru yang kita kena uruskan.
“Kali ini kita cuba bantu isteri pula. Dah berapa kali ustaz datang berubat dia. Selain itu, baru-baru ini, ada pula tiga orang lain yang berani menghubungi dia di telefon di tengah malam dan ganggu.
“Saya cuma nak tahu, kenapa ramai masih tak puas hati dengan isteri saya?”katanya dalam satu hantaran di Instagram malam tadi.
Selain itu, Caprice menerusi hantaran yang sama dilihat memuat naik sebuah video rakaman alunan ayat Al-Quran dan ruqyah yang memaparkan tujuannya sebagai usaha penawar gangguan jin dan sihir.
Tidak cuma itu, Caprice juga merakamkan dirinya sedang memegang tangan isterinya itu yang dilihat sedang tidur sambil alunan ruqyah itu dipasangkan di dalam kamar mereka.
Dalam pada itu, Caprice sempat meluahkan dirinya sudah begitu penat untuk melayan gangguan-gangguan yang menimpa mereka.
“Terus-terang, saya sudah sangat penat. Nak hadam bisnes dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Lepas itu, sambung dengan benda bukan-bukan sampai pukul 3 hingga 4 pagi. Saya perlukan bantuan,”katanya.
Difahamkan, sekitar seminggu lalu, Caprice juga ada berkongsi mengenai seorang lelaki tidak dikenali yang berani menganggu isterinya menerusi kiriman mesej di aplikasi Whatsapp.
Ujarnya, tindakan lelaki itu sangat melampaui batas kerana mengganggu privasi dan keselamatan isterinya.
Justeru, dia memberi tempoh selama 24 jam (bermula semalam) kepada lelaki itu untuk mencarinya dan membuat permohonan maaf secara bersemuka dengannya namun sehingga kini masih belum menunjukkan petanda baik.