Tentang fitnah dan aib suami, saya zip mulut - Lisdawati - Utusan Malaysia

Tentang fitnah dan aib suami, saya zip mulut – Lisdawati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Lisdawati Nazaruddin, 44, mengaku tidak lagi mahu terlalu mudah tampil memberi komen atau sebarang kenyataan tentang apa sahaja isu kontroversi atau fitnah berkaitan suaminya, aktor, Fauzi Nawawi.

Menurut Lisdawati, dia selesa untuk mengunci mulut kerana beranggapan sebagai isteri, tentu sahaja dia lebih mengenali siapa suaminya itu.

“Baik kontroversi, fitnah atau aib suami, saya akan zip mulut. Sebab, saya lebih kenal suami saya luar dan dalam. Insya-Allah, kalau Allah SWT izinkan, biarlah hubungan kami kekal sampai tutup mata.

“Isu apa sekali pun, kalau ada yang komen, saya doakan mereka kembali ke pangkal jalan dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Bagi saya, Allah lebih tahu dan kita sebagai manusia,jangan buat kerja Dia,”katanya.

Lisdawati berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran Lana’s Bakery Land milik pelakon, Lana Nordin di Kota Damansara, malam tadi.

Ia adalah bagi mengulas mengenai pelbagai kontroversi yang pernah terpalit pada Fauzi sebelum ini dengan antraanya membabitkan isu terlepas kata mengenai isu rogol di sebuah program rakaman dan juga pelbagai kontroversi panas lain yang mengundang kecaman netizen.

Selain itu, kata Lisdawati, dia dan suami sehingga kini menerima kiriman mesej di ruangan Direct Message (DM) Instagram daripada pelbagai pengguna media sosial tidak dikenali yang tampil memohon maaf.

“Ramai sebenarnya dan sehingga ke hari ini masih lagi kami menerima ucapan dan kata maaf daripada netizen yang sebelum ini pernah mengata dan mengecam kami. Saya anggap mereka dah dapat hidayah dan dah tahu kebenaran.

“Bila orang mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati sebelum ini, tentulah kami tersinggung. Tapi bila tengok ramai yang minta maaf, saya dan Fauzi pun tak ada sebab untuk tidak memaafkan mereka.

“Kita semua melakukan khilaf. Orang minta maaf, kita maafkan. Bukan apa, sementara kesempatan ada. Kalau kami pun dah tiada nanti, tak sempat minta maaf. Lebih afdal kami maafkan semua orang. Saya tengok sekarang, suami pun dah tak stres, senyum saja,”katanya.

Dalam pada itu, kata Lisdawati, dia juga bersyukur kerana hubungan suaminya dengan orang industri seni sangat positif sehingga tidak putus-putus menerima tawaran lakonan dan sebagainya.

“Alhamdullah sangat. Dia sampai tak menang tanganlah. Setiap hari pergi penggambaran.Sampai ada yang dia terpaksa tolak dengan baik. Saya percaya, ramai penerbit dan pengarah masih mempercayai bakat yang ada padanya.

“Tentang perselisihan faham dengan stesen tv itu sebelum ini pun sudah selesai dengan baik. Malah, stesen tv itu juga ada tawarkan dia berlakon lagi. Alhamdulillah. Saya pernah cakap dengan dia, apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah.

“Kalau orang tanya, dan kita jawab dengan tenang,Insya-Allah, semua perkara akan dipermudahkan,”katanya.

Untuk rekod, Lisda & Fauzi berkahwin pada 9 September 2007 & dikurniakan empat orang cahaya mata. Fauzi sebelum ini turut dikurniakan empat orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya