PETALING JAYA: Pelakon meningkat naik, Dini Schatzmann, menyatakan dia perlu bekerja lebih keras lagi bagi mencapai standard sebagai seorang pelakon.
Menurut Dini, usaha yang tinggi juga penting bagi mengasah lagi bakat lakonannya dalam industri seni tempatan.
“Bagi saya, pelakon ini ada dua jenis iaitu memang ada bakat yang semula jadi dan perlu lebih bekerja keras untuk mencapai standard.
“Jadi, saya ambil diri ini sebagai yang kedua itu. Saya tidak rasa yang saya ada bakat semula jadi. Oleh kerana itu, saya perlu lebih bekerja keras,” katanya.
Mengulas lanjut, Dini menitipkan penghargaan buat kelab peminat Janna Nick, Janna Nicker, yang tidak pernah lekang menyokong kariernya sehingga berjaya memenangi kategori anugerah Artis Baharu Meletop, pada malam semalam.
“Alhamdulillah, Janna Nicker pada masa sama selalu menyokong saya juga. Mereka memang sangat membantu sehingga dapat anugerah ini. Terima kasih.
“Namun saya percaya, dengan usaha yang tinggi saya dalam industri, inilah saya hari ini,” katanya.
Berkongsi mengenai cinta, pelakon drama Marry Me senorita itu memberitahu dia dan kekasih yang juga pelakon popular, Janna Nick, mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
“Rancangan untuk berumah tangga mestilah ada. Tetapi ia sentiasa berubah. Apa yang saya boleh katakan, kita dapat merancang tetapi ia boleh berubah.
“Saya pun tidak tahu nak cakap bila tetapi ia akan datang. Bagaimanapun ,saya tidak rimas bila kerap kali diajukan soalan sebegini.
“Kerana saya memahami karier ini, orang semestinya mahu mengetahui lebih mengenai kita,” kongsinya.
Dini berkata demikian ketika ditemui di Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada malam Ahad.
Sekadar informasi, pelakon itu juga berjaya merangkul anugerah Artis Baharu Meletop menerusi naskhah A.I In Love.