KUALA LUMPUR : Bertudung, tetapi menerusi penampilannya dalam filem berjudul Tiga Janda Melawan Dunia, pelakon, Normah Damanhuri mengaku dia sanggup memakai wig atau rambut palsu demi memenuhi tuntutan watak yang diberikan.
Menurut pelakon berusia 68 tahun ini, sebelum membuat kata putus untuk menerima pelawaan Hyrul Anuar, dia telah ditanya secara terperinci tentang sejauh mana kesanggupannya untuk membenarkan sutradara tersebut menggunakan khidmatnya sebagai seorang pelakon.
“Semasa Hyrul mempelawa saya untuk terlibat dalam filem ini, dia ada tanya saya, sejauh mana saya membenarkan dia untuk bereksperimentasi dengan watak yang diberikan dalam naskhah ini.
“Saya memang bertudung.Tapi untuk filem ini, saya kata boleh kalau mengenakan pemakaian wig atau rambut palsu. Saya sendiri yang cakap begitu pada Hyrul. Tak adalah sampai betul-betul menampakkan rambut saya sendiri.
“Pakai wig masih lagi okey. Itu saja had yang saya boleh berikan demi komitmen pada filem ini,”katanya.
Normah berkata demikian semasa ditemui di majlis pratonton dan sidang media filem Tiga Janda Melawan Dunia di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
Filem arahan pengarah muda Hyrul Anuar itu turut dibintangi oleh Raja Azura, Khatijah Tan, Rosnah Mat Aris, Norman Hakim dan dua pelakon baharu iaitu Abbas Mahmood dan Ellyza Azizi.
Filem komedi yang akan ditayangkan bermula 19 Mei itu menampilkan sisi lakonan berbeza Khatijah, Normah dan Raja Azura.
Selain itu, kata Normah, dia juga sedar mungkin penonton atau netizen akan mencemuh atau mengkritik tindakannya itu namun apa yang selesa dilakukannya adalah dengan membiarkan sahaja mulut orang berkata-kata.
“Biarlah orang nak kata apa pun…”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kepuasannya berlakon dalam naskhah komedi ini, Normah mengaku biarpun penat menjalani penggambaran dari pagi sehingga keesokkan hari, tetapi ia adalah satu pengalaman penggambaran yang tidak akan dilupakan olehnya sampai bila-bila.
“Penat memang tak payah cakaplah sebab penggambaran dari pagi sampai ke pagi selama beberapa hari juga. Kalau berlakon watak, kita penat bermain perasaan dan perap jiwa.
“Tapi yang filem ini penat dengan tenaga sekali. Watak saya pun memang sangat memenatkan. Banyak bermain dengan energi. Tapi sangat seronok. Bagi saya, ada rasa nikmat dan kepuasan,” katanya.
Berkongsi lagi mengenai wataknya sebagai Rohayu, Normah memberitahu pada mulanya dia berasa segan untuk melakonkan aksi manja biarpun karakter sebenarnya lebih kurang sama.
“Bagi saya, benda (aksi manja) itu untuk tayangan. Jadi, kita ada lah juga rasa malu dan tertanya-tanya, macam ‘okay ke ini, boleh ke ini’.
“Tapi saya memang dibantu oleh mereka. Memang la gedik sikit-sikit itu ada sebab watak saya memang begitu, manja sikit-sikit tu ada.
“Cuma mereka bantu lagi, Insya-Allah menjadi lah dan harap peminat dan penonton suka dengan watak yang dibawakan,”katanya.