Masih Cik Bunga ingat, bagaimana ada dakwaan betapa ‘kereknya’ vokalis Sekumpulan Orang Gila (SOG) ini mempertikai kerja pihak media ketika kumpulannya diangkat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-36.
Selepas ‘seronok’ mempertikai kerja orang media, Raja Nazrin dikatakan mempertikai kelompok penggiat seni lain kononnya dia mempertikai kejayaan rakan-rakan artis yang terpampang di billboard Times Square New York.
Mengikut cerita, pemuda ini kononnya mendakwa, dia tak salahkan artis-artis termasuk nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza yang dipaparkan di papan gergasi tersebut. Tetapi katanya nak sindir kelompok label dan media. Oh! Media lagi?
Cik Bunga hairan juga. Sebenarnya, kekecewaan seberat mana yang ditanggung oleh Raja Nazrin ini sehingga setiap kali pun, dia akan mengaitkan media yang di matanya amat tidak mahu membantu pemuzik dan artis sepertinya?
Seingat Cik Bunga, bukan tidak pernah media tempatan membantu memberikan publisiti dan promosi kepada dia mahupun kumpulannya. Sepanjang tempoh dia berada dalam industri, pernah saja dia diberitakan. Waktu dia menyertai program Keynote pun ada.
Bila jadi macam ini, ada yang berpendapat Raja Nazrin ini mungkin seorang yang ‘bitter’. Semua perkara yang mungkin tak sehaluan dengan cara dia, kemudiannya dibangkitkan menjadi isu.
Kemudian dijawab dengan kata ‘oh kelakarlah, sebenarnya tak ada isu pun’. Macam tak selari pula dengan tindakan yang dia sudah lakukan. Hujung-hujung, dakwa diri nak jadi umpama pemetik api.
Ada yang perli dia cuba jadi hero ke?
Beginilah dik, ada banyak lagi landasan yang boleh diteroka jika benar nak jadi hero. Jangan fikir awak saja yang tahu tentang muzik dan industri. Ramai lagi lebih tahu dan berilmu, malah berjaya, tapi tidak pula menggelupur macam awak.
Buktikan diri itu hero yang ada kelas. Kalau begini sikapnya, macam manalah orang tidak pandang sebelah mata pada ‘budak-budak’ underground?
Penatlah kumpulan Indie lain memacu perjuangan Indie, tapi kerana awak yang dah menang trofi AJL ini, boleh rosak pandangan orang ramai atau masyarakat yang mungkin baru nak terbuka menerima kematangan muzik Indie tempatan.
Bersifatlah seperti air. Tenang dan menyejukkan, tetapi membawa impak yang besar kepada setiap orang. Usah bermain dengan api dik kerana api itu membinasakan. Kelak, memakan diri sendiri.
Ambillah pesanan Cik Bunga ini dengan hati terbuka. Jangan marah-marah tau!