KUALA LUMPUR : Bertahun-tahun lamanya menyepi dalam dunia seni lakon dan pengarahan, ibu kepada pelakon, Pierre Andre, Khatijah Tan, menjelaskan dia juga sudah tidak tahu cara bagaimana untuk memujuk anaknya itu untuk kembali aktif dalam industri seni.
Menurut Khatijah, selama Pierre ‘menghilang’, dia juga seringkali menjadi tempat pertanyaan ramai terutama orang industri yang mencuba untuk mendapatkan kembali khidmat seni anaknya itu.
“Bukan saya tak pernah pujuk dia. Lagipun ramai tanya pada saya. Ada satu ketika, saya pernah bertanya pada dia sendiri, kenapa. Dia kata bohonglah kalau dia tak rindu dengan industri seni.
“Tapi satu daripada puncanya kerana dia terlalu kecewa. Sebab, jangkaan dia terhadap industri ini terlalu tinggi dan dia orang yang sangat sensitif. Bila dia tak dapat, dia jadi merajuk dengan industri.
“Bukan saya nak puji anak, tapi sebenarnya, dia adalah orang yang sangat kreatif.Sebenarnya, banyak skrip yang dia buat, tapi dia tak nak jual pada orang kerana dia tak dapat apa yang dia nak. Mungkin juga sebab dia jumpa orang yang salah sehingga menyebabkan idea dan karyanya terbantut,”katanya.
Khatijah berkata demikian semasa ditemui di majlis tayangan perdana filem Tiga Janda Melawan Dunia di ibu kota, kelmarin.
Selain itu, kata pelakon berusia 62 tahun ini, dia juga tidak menolak bahawa Pierre mungkin mempunyai idea atau ilham yang lebih ke hadapan berbanding dengan apa yang disajikan oleh industri sekarang namun terhad kerana kekangan kewangan atau peralatan yang tidak seiring dengan karyanya.
“Dia tak dapat orang yang serasi dan faham jiwanya. Orang seni kreatif ini dengan orang yang buat bisnes, lain. Bila kita nak berkreativiti, tapi orang itu nak bisnes, dia tak akan menyatu dengan baik.
“Jadi susah dan ia buat Pierre jadi kecewa. Melainkanlah kalau Pierre ini penerbit macam Datuk Yusof Haslam misalnya. Itu lain. Mungkin hak begini yang membuatkan akhirnya dia malas dan merajuk dengan industri,”katanya.
Dalam pada itu, kata Khatijah lagi, dia yang kini menetap di Ipoh sementara Pierre pula di Ampang, Kuala Lumpur tetap berhubungan dan cuba bersama-sama membantu minat anaknya itu yang kini beralih kepada bahan kandungan di Youtube.
Kata Khatijah, menerusi saluran Andre Brothers Pictures di platform berkenaan, Pierre berkongsi cerita pelbagai bersama adiknya, Mikail Andre dan kini telah menarik banyak jumlah tontonan dan peminat.
“Saya pun ada ketika terlibat sama di saluran tersebut. Tetapi memandangkan perkongsian Pierre di situ cenderung kepada kisah-kisah mistik dan hantu, saya pun ceritalah dari sudut pengalaman buat penonton saluran itu.
“Ternyata ramai juga yang suka dengan cerita-cerita hantu yang dikongsikan. Saya pun sementara duduk di Ipoh tak ada kerja, bolehlah bantu dia buat itu,seronok juga. Sekurang-kurangnya orang yang rindu nak tengok saya, boleh tengok di situ,”katanya.