KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet tidak meletakkan sebarang jangkaan terhadap keputusan undi pemilihan Ketua Cabang Ampang bagi pemilihan PKR 2022.
Altimet yang bertanding merebut jawatan tersebut menentang enam pencabar lain berkata, dia tidak dimaklumkan apa-apa dan hanya selesa menunggu keputusan rasmi diumumkan pada 29 Mei ini.
“Saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan dan tidak pasti tentang kemenangan.
“Tunggu keputusan rasmi,” jawabnya ringkas.
Mengulas tentang saingan, Altimet yakin semua calon bertanding menerima sokongan yang padu daripada penyokong mereka.
“Pada pandangan saya, semua calon berkempen dengan baik.
“Apa-apa pun kita tunggu keputusan undian diumumkan nanti,” ujarnya.
PKR kini mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi PRU-15.
Pemilihan PKR membuka tirainya pada 13 Mei lalu dan berakhir pada 23 Mei lepas menyaksikan persaingan sengit 11,282 calon bagi merebut pelbagai jawatan termasuk jawatan tertinggi parti.
Keputusan pemilihan diketahui pada 29 Mei melalui aplikasi ADIL dan laman web ADIL.
Pemilihan PKR terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat Cabang dan Kongres Nasional.
Pada peringkat Cabang, jawatan yang perlu dipilih ialah Jawatan Utama Pusat, Jawatankuasa Cabang, Jawatankuasa AMK Cabang, Jawatankuasa Wanita Cabang (62 jawatan).
Bagi peringkat kedua atau Peringkat Kongres Nasional, jawatan yang perlu dipilih adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita membabitkan 60 jawatan dan pengundian akan dibuat oleh Perwakilan di Kongres Nasional Keadilan, Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita. – UTUSAN