PUTRAJAYA :Pelakon terkenal, Fasha Sandha, menzahirkan rasa syukur dan gembira selepas berjaya membawa pulang anugerah Pelakon Meletop, pada malam Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021).
Menurut Fasha, dia sama sekali tidak menjangka akan memenangi anugerah tersebut kerana bersaing dengan selebriti popular tanah air yang lain.
Selain itu, Fasha juga mengaku tidak meletakkan harapan dan impian untuk merangkul anugerah berkenaan kerana ingin memberi peluang buat bakat-bakat baharu pula.
“Dapat tersenarai top lima pun saya rasa sangat gembira dan bersyukur. Ia kerana pelakon kini yang tumbuhnya seperti cendawan tetapi saya masih ada tempat di sini.
“Tidak terfikir langsung yang hari ini saya akan menang. Kerana sedar sekarang ini bukan zaman saya. Saya jangka pelakon Uqasha atau Uyaina yang akan menang kerana memang tengah masa mereka kan sekarang ini.
“Selain itu, sejujurnya tidak. Kerana saya sudah melalui zaman-zaman tersebut. Jadi, berilah peluang untuk orang-orang muda yang lain. Saya anggap begitu. Tetapi ini semua rezeki. Alhamdulillah, Rezeki anak-anak,” katanya.
Mengulas lanjut, Fasha menyifatkan kemenangan tersebut adalah atas dasar komitmen dan disiplin yang konsisten sepanjang dirinya bergelar pelakon.
“Alhamdulillah, saya yakin anugerah yang saya peroleh ini adalah atas dasar komitmen dan disiplin yang saya kekalkan sehingga hari ini.
“Itu adalah rahsia dan resepi yang membawa saya ke sini, sekarang ini,” tuturnya.
Fasha berkata demikian ketika ditemui di AME2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada malam Ahad.
Sekadar informasi, pelakon drama Dendam Seorang Isteri itu berjaya ‘mengalahkan’ empat selebriti popular iaitu Uqasha Senrose, Uyaina Arshad, Mira Filzah dan Dini Schatzmann bagi kategori tersebut.