KUALA LUMPUR : Kali pertama diundang membuat persembahan konsert mini Syawal di Melbourne, Australia, penyanyi, Azharina Azhar diuji apabila bapa tersayang diserang sakit jantung kritikal hujung April lalu di Sabah.
Hati penyanyi Elegi Sepi itu jadi berbelah bahagi hingga memaksa dirinya menunda tarikh asal persembahan berkenaan dari 7 Mei ke satu tarikh baharu.
Kata penyanyi yang mesra disapa Nina itu, selepas berbincang dengan penganjur konsert termasuk pihak pengurusannya, Currizy Popz di sana, 28 Mei diputuskan sebagai tarikh baharu bagi penganjuran konsertnya itu.
Menurut Juara Gegar Vaganza musim ketiga itu, dia mengaku teruja berkongsi cerita konsertnya, Live In Melbourne, Azharina Azhar.
“Saya sepatutnya terbang ke Melbourne pada 30 April. Tapi hati jadi tak senang dan gundah dengan keadaan kesihatan bapa. Tambah pula dia dimasukkan Pusat Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Sabah. Dia juga melakukan pembedahan jantung.
“Sebagai anak sulung, saya tak boleh berkompromi hal nyawa. Dia satu-satunya bapa saya dan memang tiada galang ganti. Soal konsert atau apa saja boleh difikir kemudian. Malah saya pernah terlintas nak batalkan saja konsert mini itu.
“Saya tidak boleh mementingkan diri. Justeru, saya memohon pertimbangan penganjur dan syarikat pengurusan untuk menunda tarikh konsert mini itu. Mujur mereka memahami dan akhirnya saya terbang ke Melbourne 19 Mei lalu,” katanya sambil memberitahu ada kos lain termasuk katering juga ‘hangus’.
Juara Bintang RTM 2001 itu bagaimanapun berkata hasratnya untuk melawat bapa di Sabah tidak kesampaian.
“Dijadikan cerita, tiket penerbangan semua habis terjual. Yang tiket penerbangan harga mahal pun habis dibeli orang lain yang mahu pulang beraya.
“Syukur keadaan bapa saya semakin okey. Ibu tiri yang banyak mengemas kini keadaannya kepada saya. Bapa pun tak mahu susahkan saya balik bertemunya.
“Malah bapa suruh saya fokus kepada anak dan persiapan konsert yang ditunda itu,” katanya.
Tambah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu lagi, dia kini sibuk memenuhi promosi dan majlis tertutup sekali gus mempromosikan konsert mininya itu yang akan berlangsung di 333 Swanston Street Melbourne City Conference Center.
“Sejak sampai di Melbourne, jadual saya memang ketat. Ada majlis tertutup seperti makan malam dengan klien kena dihadiri. Malah ada promosi dan majlis impromptu yang saya kena hadiri membabitkan komuniti Asia di sini.
“Termasuklah promosi di stesen radio dan penerbitan akhbar di sana. Saya ke sana pun umpama strategi serampang dua mata. Selain tumpuan untuk konsert mini, saya juga mahu melebarkan saya perniagaan yang boleh diteroka.
“Ada juga majlis raya yang hanya menuntut kehadiran saya semata-mata dengan bayaran istimewa. Tak ketinggalan ‘busking’ impromptu dengan ‘Bob Marley King’ di Camberwell, Victoria. Pendek kata mereka sangat menyokong saya,” katanya.
Tambahnya lagi, setakat ini tiket konsert itu sudah 85 peratus terjual.
“Saya bangga menjayakan konsert mini ini kerana penganjurnya orang Melayu yang bawa artis pertama dari Malaysia membuat persembahan di Melbourne. Kebetulan saya mengenali mereka.
“Memang ada yang cakap kenapa artis suam-suam kuku macam saya. Kenapa bukan artis gred A lain dari Malaysia? Kebetulan, rezeki itu dapat kepada saya.
“Yang beli tiket persembahan saya kebanyakan orang Borneo dari Asia yang sangat menyokong. Malah mengejutkan saya diberitahu ada orang Indonesia, Singapura dan mat salih pun membeli tiket,” katanya.
Dia dijangka menyanyikan enam ke lapan buah lagu pada persembahan berkenaan yang akan berlangsung dua jam bermula 3.30 petang waktu tempatan.
“Antara lagu wajib tentunya Elegi Sepi, Rawan, Seandainya dan lain-lain. Saya hanya akan menyarung sepasang saja persalinan rekaan Zamzuri Ali.
“Saya ke sana sendirian. Tapi setibanya di sana ada tujuh ‘entourage’ yang setia menemani saya termasuklah jurusolek,” katanya yang akan pulang ke ibu kota pada 4 Jun depan.
Sekembalinya di Malaysia dia akan sibuk pula dengan konsert keduanya tahun ini di Melaka dijangka berlangsung Julai depan.