Konflik dalam Search? Saya tak masuk campur - Denden Gonjalez - Utusan Malaysia

Konflik dalam Search? Saya tak masuk campur – Denden Gonjalez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Vokalis baru kumpulan Search, Denden Gonjalez mengaku dia lebih selesa untuk tidak masuk campur mengenai pergeseran dan perpecahan membabitkan anggota kumpulan legenda berkenaan.

Menurut vokalis yang berasal dari Indonesia itu, dia sendiri begitu mengkagumi Amy sebagai vokalis asal kumpulan terbabit. 

Namun, apa yang lebih utama baginya adalah untuk menunaikan amanah sehabis baik menjelang Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun depan.

“Saya sendiri memandang tinggi dan mengidolakan Amy sejak dulu hingga sekarang. Beliau sendiri sudah menyanyikan lagu dendangan Search dengan baik.

“Saya tak mahu wujud istilah berlawan untuk membuktikan siapa lebih hebat.  Pengalaman saya dan beliau amat berbeza. Masing-masing ada cara dan gaya tersendiri. Paling utama, kami bersaing secara sihat.

“Sebab itu juga saya tak ambil pusing dan kisah fasal kontroversi mereka selama ini. Itu urusan mereka yang dulu. Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk konsert kelak,” katanya yang akan membuat persembahan bersama Din, Kid, Yan dan Minn pada konsert itu nanti.

Denden juga menambah, dia sedar bukan haknya untuk menentukan sama ada dia lebih hebat daripada Amy atau tidak dan hal itu adalah terpulang kepada peminat dan pendengar.

“Saya tak mahu mengulas kalau ada yang kata saya tidak setanding atau tidak sesuai dengan kumpulan Search.

“Pastinya kerisauan saya itu tetap bersarang adakah peminat tidak boleh menerima kehadiran diri ini.

“Namun saya tawakal. Pada akhirnya, ia terserah kepada pendapat masing-masing. Saya percaya setiap daripada kita ada pilihan dan minat masing-masing,” katanya lagi.

Denden sebelum ini, pernah tular dan mencipta fenomena dunia apabila aksinya di ‘blind audition’ program The Voice Bulgaria.

Rentetan itu, Din atau Noordin Mohd Taib mempelawa Denden dengan menawarkannya sebagai vokalis Search.

“Saya mengenali dan membesar dengan Search sejak dari kecil. Banyak juga saya tahu mengenai lagu mereka antaranya Isabella, Hilang Dalam Terang, Fantasia Bulan Madu dan banyak lagi.

“Jadi detik dilamar menganggotai kumpulan ini sukar digambarkan. Perasaan itu bercampur baur. Tentunya, saya sangat senang dan tenang. Paling utama, bangga sekali kerana saya sekarang bergelar vokalis utama Search,” katanya yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan penyanyi Inka Christie dan Judika.

Mengenai persiapan menjelang konsert, Denden berkata dia tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu kumpulan itu yang rata-rata bernada tinggi.

“Saya sendiri suka dan senang menyanyikan lagu bernada tinggi. Lagu mereka pun ibarat kena dengan vokal saya,” katanya.

Terdahulu pada sidang media konsert terbabit, Din mendakwa dia dan anggota lain merupakan anggota asal Search.

Kenyataan itu dijelaskan Din ekoran wujud pertembungan dua konsert membabitkan kumpulan rock legenda itu yang bakal berlangsung di ibu negara, bulan depan.

Seminggu sebelum konsert mereka, vokalis Search, Amy bersama gitaris, Hillary Ang, Man Kidal dan pemain bes, Nasir Daud pula akan mementaskan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre di sini, pada 4 Jun.

Denden dijangka membawa antara 14 hingga 17 lagu Search. Ia termasuk dendangan yang jarang dan tidak pernah dimainkan dalam mana-mana konsert.

Contohnya, lagu dipetik daripada album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992.

Konsert Search Rockin’ On Rooftop bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket berharga RM198 dan RM298. Tiket paling murah, RM88, bagaimanapun sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell. Bagi pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya