KUALA LUMPUR : Pelakon, Ummi Nazeera, 32, meluahkan rasa hairan apabila seringkali masyarakat kita gemar melihat kesalahan pada golongan wanita meskipun yang melakukan kecurangan adalah si lelaki.
Pertanyaan itu dilayangkan oleh pelakon tersebut dalam satu coretan di Instagramnya yang menyentuh isu kaum wanita sempena sambutan hari ibu semalam.
“Soalan saya, kenapa ya, kalau lelaki curang, kita seringkali mencari kesalahan pada orang yang dicurangi itu? Contohnya, perempuan itu tak pandai jaga suami, perempuan itu garang sangat, perempuan itu kuat membebel.
“Kita kena ubah pemikiran begini sebab apabila perempuan salah, susah sangat nak maafkan dia. Tetapi, kita boleh pula beri kemaafan pada kaum lelaki dan cuba mencari sebab akan kesilapan yang dilakukan.
“Islam itu mengangkat martabat wanita. Kita adalah sangat berharga.Jangan pernah lupakan itu! Selamat hari ibu buat semua,”katanya.
Menurut Ummi lagi, dia juga begitu menghargai pengorbanan seorang ibu kerana telah melalui pengalaman dan fasa itu setelah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata kini.
“Bergelar seorang ibu, ya ia tidak mudah. Ia adalah sebuah proses pembelajaran dan kerisauan yang tidak akan pernah ada noktahnya, tetapi sangat berbaloi. Saya masih ingat bagaimana diri jadi sangat depresi semasa mengandungkan anak kedua saya.
“Berat badan naik jadi 30 kilogram! Tak pernah berat sampai 78 kilogram sepanjang hidup saya. Tetapi, Alhamdulillah, saya berjaya turunkan semula berat badan. Apa pun, ketahuilah, golongan ibu banyak melakukan pengorbanan.
“Adakalanya, mereka harus melakukan lebih dalam usaha untuk memastikan seisi rumah berada dalam keadaan terkawal. Tetapi, kerana itu juga mereka jadi tak terjaga. Malangnya, sesetengah orang tak nampak pengorbanan itu. Sesetengah kaum suami, bila balik rumah, merungut itu dan ini,”katanya.
Di penghujung kata menerusi perkongsian tersebut, Ummi turut menyatakan bahawa setiap hati kaum ibu itu adalah sangat murni dan indah.
“Apabila kita mendidik seorang wanita, kita sebenarnya sedang mendidik sebuah bangsa. Begitulah perumpaan indahnya hati seorang ibu. Semoga Allah SWT memberkati semua ibu di dunia ini, amin,”katanya.
Ummi berkahwin dengan jejaka pilihannya, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani pada tanggal 23 Julai 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ayra Aneesah, 4, dan Aysha Arsylia yang dilahirkan pada Jun tahun lalu.