NEW YORK: Diduga dengan masalah keguguran, bintang pop dunia, Britney Spears mengakui bertindak terburu-buru dengan mengumumkan kehamilannya terlalu awal.
Dalam kenyataan di Instagram (IG), Britney mengakui dia dan suami, Sam Asghari sepatutnya menunggu masa yang sesuai sebelum melakukan perkara berkenaan.
“Dukacita dimaklumkan kami telah kehilangan bayi ajaib kami. Ini adalah waktu yang agak sukar untuk mana-mana ibu bapa sekalipun.
“Kami sepatutnya menunggu lebih dahulu sebelum masa yang sesuai tiba. Namun kami akui kami terlalu teruja untuk berkongsikan tentang berita tersebut.
“Kekuatan kami adalah kasih sayang untuk satu sama lain. Kami akan terus berusaha mengembangkan keluarga bahagia ini. Sokongan anda amat kami hargai. Kami mohon agar diberi ruang privasi pada waktu-waktu sukar ini,” tulis Britney.
Berita duka itu telah mengejutkan dunia hiburan antarabangsa.
Ramai rakan selebriti prihatin dengan keadaan Britney mengambil peluang untuk memberi kata-kata semangat di ruang komen.
“Saya bersimpati dengan kehilangan ini adikku. Saya sentiasa berada di sini untuk kamu. Saya sayang kamu,” tulis selebriti terkenal, Paris Hilton.
Penyanyi terkenal, Christina Perri juga mencoret nukilan ringkas buat puteri pop dunia itu.
“Saya bersimpati,” tulisnya.