Faizal Tahir akui Yasin sahabat yang banyak mengubah dirinya - Utusan Malaysia

Faizal Tahir akui Yasin sahabat yang banyak mengubah dirinya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, komposer dan penerbit lagu, Faizal Tahir mendedahkan, Yasin Sulaiman merupakan antara sahabat baik yang berjaya mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik seperti apa yang dilihat oleh khalayak hari ini.

Menurut Faizal, perkara ini tidak ramai yang tahu kerana dia tidak pernah berkongsi kepada umum.

Katanya, selama 8 tahun bersahabat, banyak perkara tentang kehidupan yang dipelajarinya daripada Yasin, terutama melibatkan hal-hal berkaitan agama dan juga Al-Quran.

 “Banyak yang saya belajar daripada Yasin Sulaiman sepanjang kami bersahabat. Saya belajar tentang Al-Quran, tadabbur dan hal yang berkaitan dengan kehidupan. 

“Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan antara manusia yang banyak mengubah saya ke arah kebaikan. Ini apa yang orang tak tahu.

“Masih ingat lagi ketika saya dan dia tinggal di kawasan kediaman yang sama, kami selalu menghabiskan masa berdua. Cuma apabila dia sudah berpindah, kami terus jarang bertemu,”katanya.

Faizal berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran single terbarunya bersama penyanyi Amira Othman yang berjudul Alah Bisa yang dijayakan oleh Rocketfuel, di sini, semalam.

Selain itu, kata Faizal, dia juga berasa ralat dan terkilan kerana tidak dapat melunaskan hajat untuk bertemu dengan Yasin tiga hari sebelum kejadian dia ditahan pihak polis.

“Sebenarnya, saya memang ada hasrat nak jumpa dia. Entah kenapa hati rasa begitu rindu nak jumpa dia sebab dah lama sangat tak bertemu. Tapi nak dijadikan cerita, tiga hari kemudian itu keluar berita dia ditahan.

“Terasa terkilan juga sebab tak sempat jumpa dia. Nak melawat dia di Sungai Buloh juga bukan senang kerana ada prosedur dan had. Saya cuba juga hubungi peguamnya, tapi mungkin dia pun sibuk, kita faham,”katanya.

Selain itu, Faizal turut mendedahkan yang dia berasa sedih dengan apa yang terjadi terhadap sahabat baiknya itu.

“Dia sahabat saya, sudah tentu rasa sedih itu ada dan mengharapkan perkara ini tidak terjadi. Malah, dalam keadaan ini, apa yang paling dia perlukan tentunya sokongan kawan-kawan dan keluarga.

“Bila jadi macam ni sedihlah. Demi Allah, Yasin merupakan manusia paling baik yang pernah saya jumpa. Hati dia bersih, dia tak pernah buruk sangka dan dia sangat suka tolong orang. 

“Kalau orang tengok saya macam ni, yang saya dah lain, nama yang saya akan naikkan adalah nama Yasin,”katanya.

Dalam pada itu, kata Faizal, hukuman yang diberikan kepada Yasin dirasakan tidak masuk akal.

“Bagi saya, hukuman yang dia terima itu tak masuk akal. Kalau kita nak buat apa-apa pun, biarlah kita tengok latar belakang seseorang itu, dan kenapa dia buat perkara berkenaan, dan apakah perkara lain yang dia lakukan memberi impak kepada orang lain. 

“Bukan saya seorang sahaja yang jadi baik sebab dia, tapi saya percaya orang lain pun sama,” katanya.

Untuk rekod, pada 31 Mac lalu Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman , 47, mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis (ganja) yang diperolehi secara terus atau tidak langsung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya