Bila berjaya orang tuduh saya beli anugerah pula - Ifa Raziah - Utusan Malaysia

Bila berjaya orang tuduh saya beli anugerah pula – Ifa Raziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tersenarai sebagai antara individu paling berjaya di Malaysia oleh buku ensiklopedia Britispedia terbitan British Publishing House (BPH) aktres dan pengacara sensasi, Ifa Raziah bagaimanapun menepis tanggapan salah segelintir pihak yang menuduh pengiktirafan itu dibeli.

Menurut Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 47, tiada istilah beli anugerah atau pengiktirafan kerana pihak BPH telah menilai beberapa kriteria utama sebelum keputusan untuk menyenaraikan namanya bagi kategori itu dilakukan.

“Memang ada anugerah yang boleh dibeli. Tapi saya dapat semua ini bukan kerana beli. Pihak BPH telah menilai segala kelayakan yang sewajarnya sebelum memberikan pengiktirafan ini kepada saya. 

“Boleh tanya hal ini pada pasukan saya. BPH bukan beri pengiktirafan itu atas kapasiti saya sebagai artis atau penyanyi. Tetapi sebagai ahli perniagaan dan usahawan di negara ini,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Ifa berkongsi di ruangan Instagram dan Facebook berhubung namanya yang tersenarai sebagai antara individu paling berjaya di Malaysia oleh BPH.

Selain itu, kata Ifa, dia yakin pengiktirafan itu diraihnya kerana mempunyai rekod yang baik dalam menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Starvendor yang telah dikendalikan sejak lima tahun lepas.

“Selain itu,selama 27 tahun dalam industri, saya pun ada buat banyak bisnes lain selain dilihat sebagai seorang yang dikenali dalam negara, yang membolehkan saya menerima pengiktirafan daripada BPH.

“Tapi buku itu belum saya dapat lagi. Ia akan diberikan sekitar Disember ini bersama anugerah sebab sekarang mereka dalam proses menyunting dan nak memperkemaskan bahan di dalamnya di London. Buku itu akan diedarkan di seluruh dunia,”katanya.

Jelas Ifa, dia berasa hairan mengapa ada pihak mempertikaikan pengiktirafan tersebut kerana sudah terbukti dia bekerja dan terlibat dalam dunia perniagaan sudah lama.

“Selama ini, orang tanya dan pertikai, apa sumbangan saya kepada industri? Saya dah buktikan yang saya buat kerja. Tengok sajalah bagaimana Starvendor boleh berjaya sehingga kini sampai diiktiraf oleh Malaysia Book of Records baru-baru ini.

“Bila saya buat kerja, ada pula yang pertikai. Bila saya beritahu dapat anugerah, orang kata saya beli pula? Nak berbangga-bangga? Memanglah saya rasa bangga sebab saya sendiri pun tak pernah mimpi nak dapat penghargaan seperti ini.

“Angan-angan itu ada, tapi bila betul-betul dapat anugerah, saya sampai hari ini pun masih rasa tak percaya. Untuk diangkat sampai ke luar negara, dan di mata dunia, sudah tentu saya rasa sangat bersyukur dan berbangga,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya