KUALA LUMPUR : Bekas isteri kedua kepada pendakwah selebriti, Da’i Farhan yang dikenali sebagai Erin kembali hangat diperkatakan apabila dia didakwa telah melakukan penipuan bekas sahabat baiknya, Norsiyah Kasnawi sehingga wanita terbabit mengalami kerugian wang berjumlah RM52,900.
Hal itu didedahkan oleh pengasas produk kosmetik tersebut yang mendakwa Erin atau nama sebenarnya, Noorainul Naqim Mohd Radzi, 42, telah memperdayakannya untuk bekerjasama mengusahakan perniagaan kosmetik.
Mangsa yang mahu disapa sebagai Nor itu berkata, dia mengenali Erin yang digelar Aura 19 itu ketika kisah pernikahannya dengan Farhan menjadi bahan bualan.
“Saya mesejnya di Instagram untuk memberikan kata-kata semangat kerana pada masa itu dia dikecam teruk oleh masyarakat.Bermula dari situ, lama-kelamaan hubungan jadi rapat dan kami mula bekerjasama dalam perniagaan kosmetik yang saya usahakan.
“Erin bertindak sebagai pembekal produk penjagaan kulit yang dikeluarkan di bawah jenama saya sendiri iaitu N’Siya. Pada masa sama, dia turut tawarkan khidmat reka bina laman web.
“Sepanjang berkawan, mulanya saya tidak syak apa-apa. Apabila semakin rapat, dia sudah berani untuk meminjam wang, namun atas dasar percaya, saya berikan pinjaman,”katanya.
Nor memberitahu, Erin sebagai pembekal telah bersetuju untuk menyedia dan menyiapkan produk keluaran N’siya, malah wang pendahuluan juga didebitkan ke akaunnya.
Pun begitu, kata-kata wanita terbabit hanya tinggal janji setelah produk dipersetujui sehingga ke hari ini tidak siap seperti dijanjikan.
“Lebih teruk, Erin turut memperkenalkan seorang lelaki bernama Taufik yang kononnya pekerja di syarikatnya untuk mereka bina laman web rasmi perniagaan saya.
“Tetapi,Taufik yang sudah diberikan pembayaran penuh RM12,000 itu pun masih belum menyerahkan kata kunci dan akses untuk saya mengendalikan laman webyang kononnya dibina.
“Bahkan laman web itu juga tidak seperti yang dirancangkan seperti di peringkat awal,” keluhnya.
Dalam pada itu, menurut Nor, dia telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja, Klang baru-baru ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat tindakan lanjut.
Tambahnya lagi, Erin bakal diheret ke mahkamah memandangkan Nor telah pun melantik peguam untuk mewakilinya bagi menuntut keadilan selepas ditipu.