PETALING JAYA: Penerbit dan komposer lagu, Damian Mikhail, tampil bersuara berhubung kontroversi yang melibatkan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, berikutan video lagu raya terbaharu yang dikatakan mencolok mata dan bertentangan dengan budaya tempatan.
Perkara tersebut dikongsikan Damian yang juga ahli kumpulan terkenal V.E itu menerusi platform Facebook miliknya.
Menurut Damian, dia menyifatkan bahawa usahawan itu menghasilkan video sebegitu bukanlah untuk publisiti mahupun wang.
Malah dia menganggap ia hanya sekadar mahu ‘memondan’ dalam muzik video tersebut.
“Aku nampak motif si Alif Syukri sebenarnya bukan untuk publisiti mahupun wang. Dua-dua dia sudah ada dan boleh dapat dengan senang.
“Tujuan video ini dibuat satu sahaja. Fasal nak memondan. Itu sahaja. Coming out the closet macam itu,” katanya di Facebook.
Menerusi perkongsiannya di Instagram pula, Damian juga turut mempersoal mengapa usahawan berkenaan mempromosikan video sebegitu pada bulan mulia ini.
“Kau hendak memondan itu punya hal dengan Allah. Tetapi nak mempromosi perkara-perkara seperti itu masa Ramadan?” tulisnya.
Terbaharu di Instastory, dia memaklumkan hantarannya mengenai perkara tersebut telah disekat Facebook kerana ada segelintir pihak melapor hantaran tersebut.
“Nampaknya dia dan geng-geng sudah koyak rabak. Depa (mereka) ramai-ramai lapor hantaran aku. Kalau tidak betul, tidak perlu risau pun. Tak kan lah suruh ejen-ejen lapor hantaran saya sampai kena sekat,” katanya.
Sebelum ini, penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata yang tidak sesuai untuk tontonan ramai lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.
Pada selasa, Aliff Syukri dipanggil bagi memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi membantu siasatan berhubung satu klip video muzik sempena Aldilfitri.