KUALA LUMPUR : Usahawan komtroversi, Aliff Syukri Kamarzaman bakal mengadakan konsert sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang menyokong karier muziknya.
Menerusi luahannya di akaun Instagram, dia bagaimanapun tidak berkongsi secara terperinci berhubung tarikh atau skala pentas konsert yang bakal diadakan.
“@Nantikan konsert @aliffsyukriterlajaklaris. Disebabkan semua lagu saya view (ditonton) berjuta-juta.
“Itu tandanya saya banyak peminat dan anda tak boleh nafikan. Sebab itu saya rancang nak buat konsert dan cari penaja,” ujarnya.
Dalam perkongsian sama, Aliff turut memberi bayangan tentang harga tiket selain peluang peminat untuk beramah mesra dengannya secara dekat.
“Harga tiket seorang paling murah RM150, paling mahal RM10,000 boleh duduk depan pentas dengan saya menyanyi bersama-sama dan bergambar dengan saya sambil dengar lagu kelepok raya.
“Siapa nak beli dekat saya kena tempah awal-awal takut habis terjual. Siapa nak taja saya sila mesej secara terus dengan saya, tolong ya,”katanya.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia pada ruangan hantaran itu, majoriti melayangkan komen berbaur sindiran dan jenaka.
“Tak salah nak angan-angan Datuk. Tapi tinggi sangat keyakinan Datuk ini. Langit mana pergi,” komen seorang pengguna Instagram, @ammar_ryyn