KUALA LUMPUR: Usahawan terkenal, Mawar Abdul Karim disahkan tidak pernah mengalami bankrap dan tiada notis yang diberikan kepadanya.
Pengesahan tersebut dinyatakan sendiri oleh peguamnya, Datuk Mohd. Imran Tamrin dan Mohd Azali Ibrahim dalam satu kenyataan menerusi Instagram milik Mawar.
“Berkenaan isu sama ada anakguam kami telah diisytiharkan sebagai seorang bankrap atau tidak, kami mengesahkan bahawa setakat hari ini 18 April 2022, beliau masih lagi seorang yang tidak bankrap.
“Tidak ada sebarang notis kebankrapan yang telah diserahkan kepada beliau,” katanya menerusi kenyataan itu.
Dalam masa sama, segala urusan berhubung isu berkenaan diserahkan kepada peguam.
“Kami juga mendapat arahan anakguam kami agar segala urusan berkaitan kes ini termasuk perkembangan dan maklumat lanjut berkaitan kes dimaklumkan oleh pihak peguam.
“Buat masa ini anakguam kami tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan perkembangan kes ini,” katanya lagi.
Menerusi pemerhatian Utusan Malaysia, majoriti memuji tindakan Mawar yang bersikap tidak melatah dengan kecaman dan fitnah. Sebaliknya profesional dengan mengenakan tindakan undang-undang.
“saya suka cara Mawar senyap-senyap buat kerja, betul-betul profesional. Semoga urusan Mawar dipermudahkan,” komen seorang pengguna.
“Netizen yang hina, maki, fitnah Mawar tempoh hari. Minta maaflah semula.
“Merangkaklah kamu dekat neraka. Hina orang tapi tiada bukti, buat malu diri sendiri saja,” komen lagi seorang pengguna.