PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak senior, Ebby Yus, berkongsi perkembangan terkini rumah baharunya yang sebelum musnah akibat banjir teruk yang berlaku di Selangor, beberapa bulan lepas.
Menurut Ebby, rumahnya kini masih sedang dalam proses pembinaan secara perlahan-lahan.
Pelakon filem I Know What You Did Last Raya itu bagaimanapun memberitahu rumah tersebut tidak seperti yang diimpikan sebelum ini.
Namun, dia tetap menitipkan kesyukuran kehadrat Ilahi dengan segala perancanganNya yang baik-buat buat dirinya.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah. Rumah saya itu sedang perlahan-lahan dibina. Insya-Allah mungkin tidak lama lagi rumah saya boleh disiapkan.
“Tetapi tidak seperti yang saya impikan. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan apa yang ada.
“Mungkin mustahil untuk kita dapat semula bagaimana yang kita impikan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ebby turut berkongsi berkemungkinan pembinaan rumahnya itu tidak dapat disiapkan menjelang Aidilfitri pada tahun ini.
Hal ini demikian kerana, penghantaran barangan bagi membina rumah tersebut agak sukar untuk memasuki ke tempat pembinaan itu atas sebab tertentu.
“Allahualam, saya tidak pasti kerana masalahnya, jambatan nak memasuki di tempat itu putus.
“Jadi agak sukar untuk membuat penghantaran barang untuk dibawa masuk,” kongsinya lagi.
Terdahulu, mahligai impian dibina Ebby hasil titik peluh lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, musnah sekelip mata apabila dihanyutkan air deras dalam bencana banjir di Kuala Langat, Selangor, pada 18 Disember lalu.
Rumah yang hanya tinggal 10 peratus untuk disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dihanyutkan air deras, mengakibatkan pelakon itu kerugian hampir RM200,000.