PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengambil kesempatan menghabiskan hari-hari terakhir Ramadan kali ini dengan menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.
Perkara tersebut dikongsikan Siti menerusi beberapa hantaran di entri Instagram miliknya.
Pada kali ini, penyanyi lagu Kau Kekasihku itu berangkat mengerjakan umrah bersama pengurusnya, Rozi Abdul Razak dan kakak iparnya, Datin Zaiton Mohd Jiwa.
Di samping itu, Siti sempat meminta kemaafan kepada semua pihak jika dirinya ada melakukan kekhilafan sebelum ini.
Selain memohon orang ramai mendoakannya agar segala urusan di sana berjalan lancar dan diberikan kesihatan yang baik.
“Perjalananku KeranaMu Ya Allah, permudahkanlah dan jagalah keluargaku semua…
“Aamiin ya rabb. Buat yang mengenali saya, maaf zahir dan batin.
“Doakan umrah saya berjalan lancar, diberi kesihatan yang baik serta pulang dengan sihat serta selamat,” tulisnya ringkas di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peminat dan rakan artis menitipkan doa yang baik-baik buat penyanyi itu agar dipermudahkan segala urusan dan mendapat umrah yang mabrur.
Menjengah perkongsian terbaharunya di Instastory, Siti telah pun selamat tiba di Makkah, beberapa jam yang lepas.