Saya tidak pernah rasa diri popular - Ramlah Ram - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah rasa diri popular – Ramlah Ram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada tahun 1986, pertandingan Bintang RTM melahirkan seorang bintang yang pada hari ini bertaraf legenda.

Ramlah Ram, seorang penyanyi hebat yang disegani. Keunikan vokalnya, wanita ini berada pada liganya sendiri.

Penyanyi bersuara emas ini tampil dengan album pertama sekitar tahun 1986 berjudul Sabarlah Sayang. Penerbit album tersebut pada ketika itu merupakan seniman veteran, Datuk Ahmad Nawab.

Nama Ramlah meledak pada 1988 menerusi album Kau Kunci Cintaku (dalam hatimu).

Ramlah merupakan artis Malaysia pertama yang meraih jualan album melebihi 300,000 unit. Satu pencapaian yang mungkin sukar ditandingi penyanyi masa kini.

Kejayaan album tersebut mengangkat namanya, meletakkan diri wanita ini sebaris bintang seni tersohor pada ketika itu.

Sehingga ke hari ini, anak jati Johor ini telah melahirkan lebih 13 buah album. Antaranya seperti Cintaku Hanyut Dilautan Sepi pada tahun 1989, Duri Dalam Cinta (1990), Dangdut (1994) dan banyak lagi.

Dia juga pernah merangkul pelbagai anugerah, termasuk Golden Voice yang dimenanginya di ASEAN Song Festival, Vietnam pada tahun 1996.

Baru-baru ini saya berpeluang bertemu serampang empat mata dengan penyanyi ikonik ini di majlis berbuka puasa bersama media anjuran Tenera Hotel.

Permintaan saya untuk mengadakan sesi fotografi dengannya disambut baik Ramlah yang ketika itu ditemani anak buah merangkap pembantu peribadinya.

Seorang penyanyi yang cukup gah namanya, namun Ramlah Ram sebenarnya sangat merendah diri dan mudah memberikan kerjasama.

Ketika sesi perbualan, Ramlah menceritakan zaman kanak-kanaknya yang sedari berusia empat tahun lagi sudah minat menyanyi.

“Asalnya, saya macam kanak-kanak lain juga. Suka dengar pelbagai jenis lagu yang dimainkan di radio. Minat menyanyi. Tetapi ketika itu, tak tahulah pandai ke tidak.

“Saudara mara saya yang datang jauh dari Kuala Lumpur, selalu minta saya nyanyi depan mereka. Saya hairan, kenapa orang selalu suruh saya menyanyi,” katanya.

Bercerita lanjut, Ramlah memberitahu dia dibesarkan dalam keluarga seni. Abang-abangnya mahir bermain alat muzik seperti gitar dan piano.

“Adik beradik saya pandai bermain muzik. Semua belajar sendiri. Bakat dan keinginan itu memang sudah dibina dari dalam (diri). Boleh bermain gitar, piano. Mungkin mereka belajar dari arwah ayah yang mahir bermain biola, gitar dan piano.

“Ibu saya suka baca Al-Quran dan sering mewakili kampung dalam pertandingan. Saya pula tidak bercita-cita menjadi penyanyi. Suka, memang suka. Saya ingat lagi, kalau di rumah, tak ada orang, saya akan tutup pintu dan nyanyi sepuas-puasnya.

“Di sekolah, bila cikgu tanya tentang minat, saya akan jawab menyanyi. Dari situlah, ketika darjah satu, cikgu tahu saya boleh menyanyi dan sering minta saya membuat persembahan dalam apa sahaja majlis dan sambutan yang berlangsung di sekolah,” kongsinya.

SUSAH SENANG LALUI BERSAMA

Saya bertanyakan Ramlah Ram, adakah populariti menjadi keutamaan bagi seorang artis. Satu ketika dahulu, namanya cukup masyhur dan disegani. Tentu sahaja dia faham, apa rasanya berada di kemuncak populariti.

Namun, Ramlah mengatakan dia tidak pernah merasakan dirinya popular. Jauh di sudut hati, hanya mahu bekerja mencari rezeki. Kejar populariti? Jauh sekali.

“Saya dari dulu tak pernah fikir untuk jadi popular. Sampaikan saya sendiri terkejut orang kenal saya. Bila saya menyanyi, orang hargai. Mereka tepuk tangan dan suka saya menyanyi. Itu satu kepuasan bagi saya.

“Perkara itu tidak dibuat-buat. Saya tidak pernah merasakan diri popular. Kehidupan dan latar belakang mengajar saya untuk tidak terlalu mendongak ke langit. Mungkin saya tak pernah rasa diri ini lebih dari orang lain. Memang tak pernah sekali pun. Saya layan peminat sama sahaja. Dari yang sapu sampah sehingga orang kenamaan.

“Kesusahan pun kita lalui, kesenangan pun sama. Jadi kita sangat hargai apa yang kita ada. Bukan mudah. Kita asal daripada keluarga susah. Jadi kita okey dengan semua orang. Tak ada benda yang saya nak banggakan. Rezeki Tuhan bagi. Saya selalu ingat yang itu. Rezeki Allah yang bagi. Dia boleh tarik bila-bila masa,” kongsinya.

Kata Ramlah lagi, ada yang bertanyakan kepadanya, sampai bila dia akan terus menyanyi. Baginya, jawapan untuk soalan itu tiada. Kerana dia sendiri tidak tahu apa perancangan Tuhan untuknya yang bergelar hamba.

“Itu satu soalan yang kita sendiri akan tertanya-tanya. Kita tak tahu, sampai bila Tuhan akan pinjamkan apa yang Dia beri kepada kita.

“Saya tak nak cakap pasal titik noktah dalam menyanyi. Saya tak berani. Akan berhenti atau tidak. Sampai masa kalau nak berhenti, saya berhenti sahaja.

“Tetapi kadang-kadang, ada juga rasa penat. Namun itulah, bukan kita yang tentukan. Berserah dan tawakal sahaja,” tambahnya.

KALAU BUKAN DISEBABKAN ‘PAKCIK GUARD’

Perjalanan seni wanita ini bermula ketika dia bukan sesiapa. Hanya seorang gadis kampung yang membawa keberanian hadir ke uji bakat Bintang RTM sekitar tahun 1985.

Namun tidak siapa menyangka, langkah yang diambil itulah yang menentukan haluan kerjayanya sehingga ke hari ini.

“Saya sertai Bintang RTM pada tahun 1985 dan menang pada Februari, 1986. Saya pergi uji bakat bukan sebab nak jadi penyanyi. Kerana suka dan satu lagi atas desakan abang sulung. Saya tak berapa yakin ketika itu. Dalam fikiran, macam mana nak menang, saya ini hanyalah budak kampung.

“Abang kata pergi sahaja, dia nak sangat tengok saya keluar TV. Sekali pun jadilah. Cuba-cuba nasib. Saya pergi ujibakat untuk Zon Selatan. Pergi tanpa pengetahuan keluarga.

“Hampir tak jadi disebabkan kehadiran orang yang terlalu ramai pada sesi uji bakat tersebut. Masa itu saya berseorang. Tak ada sesiapa yang datang meneman. Orang lain dengan kawan-kawan, menyanyi sama-sama, berseronok,” katanya.

Kata penyanyi berusia 57 tahun ini, dia berterima kasih kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada hari uji bakat itu dilakukan. Kata Ramlah, kalau bukan kerana hamba Allah itu, dia mungkin bukan Ramlah Ram yang sekarang.

“Saya datang naik teksi. Seorang diri. Kemudian saya nak balik. Tak mahu teruskan. Kebetulan ada seorang ‘pakcik guard’ ketika itu bertanya kepada saya kenapa nak balik?

“Dia yang pujuk saya dan berjaya mengubah fikiran untuk teruskan. Nasib baik pakcik itu ada dan menghalang saya dari pulang. Kalau tidak, tiadalah saya di sini sebagai Ramlah Ram. Awak pun tak jumpa saya hari ni.

“Kalau ada, saya nak sangat jumpa pakcik itu. Tapi rasanya dia pun tak ingat saya. Dalam ramai-ramai orang itu, tak akan dia ingat saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya