Saya jarang mengadu susah pada arwah emak - Amy Search - Utusan Malaysia

Saya jarang mengadu susah pada arwah emak – Amy Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi rock bertaraf lagenda, Amy Search, mendedahkan, kerinduan pada ibu sentiasa dirasakan dalam hati sejak arwah, Allahyarham Fatimah Idris meninggal dunia pada 1 Ogos lalu.

Menurut Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, banyak perkara yang sering menimbulkan rasa nostalgia dan nilai sentimental buat dirinya setiap kali terkenangkan arwah ibu terutama apabila berkongsi tentang sambutan Ramadan dan lebaran kali ini.

“Ingat lagi dulu, kalau sebelum Ramadan, saya akan balik Johor Bahru menziarahi pusara ayah. Kebiasaannya seminggu sebelum raya, saya sudah berada di kampung. Masa itu, saya akan kemas rumah, pasang langsir, anyam ketupat dan pergi ke pasar beli keperluan sambut raya.

“Saya akan menyiapkan semua bahan-bahan nak memasak. Termasuklah menu kegemaran, rendang daging atau paru dan ayam masak hijau.

“Tapi tahun ini, emak pun sudah tiada. Hati terasa sangat sedih dan sayu. Rindu pada arwah tak akan pernah hilang,”katanya.

Selain itu, kata Amy, ketika arwah ibunya sudah tidak kuat dan mulai jatuh sakit, dia yang mengambil tugas memasak sepenuhnya di kampung.

“Masa itu arwah emaklah yang akan tunjuk dan bantu macam mana nak menumis bahan-bahan basah serta kering.

“Tapi itulah, semua itu sudah jadi kenangan. Ramadan kali ini memang terasa sangat tanpa emak dan ayah. Apatah lagi di pagi raya nanti. Tak ada lagi momen memohon maaf minta diampunkan dosa ini,” katanya.

Kongsi Amy lagi, ketika hayat arwah, dia juga mengakui jarang mengadu sebarang kesusahan yang dialami dan sentiasa menyembunyikan emosinya daripada arwah ibu.

“Tetapi naluri seorang emak, dia yang selalu tahu bila saya sedih dan gembira. Cuma tak pernah sekalipun saya mengadu kesusahan itu kepadanya. Memang saya begitu daripada dulu.

“Al-Fatihah untuk mereka berdua. Moga Allah tempatkan mereka di syurga firdausi dengan keredaan-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Dalam pada itu, pagi kelmarin, Amy juga sempat meluangkan masa untuk menziarahi kubur arwah ibunya yang terletak di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara.

Kata Amy, kali terakhir bertemu arwah ibunya juga pada Ramadan tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya